DETIK yang dinanti-nantikan ramai akhirnya terjadi apabila dua penyanyi terkenal Indonesia, Maia Estianty dan Mulan Jameela, muncul bersama dalam sebuah majlis keluarga penuh simbolik dan emosi.
Pertemuan yang berlaku dalam majlis siraman anak sulung Maia dan Ahmad Dhani, Al Ghazali, nyata mengejutkan ramai kerana sudah sekian lama mereka tidak kelihatan bersama dalam manamana acara umum.
Lebih menggemparkan, Mulan hadir sebagai isteri kepada Ahmad Dhani, manakala Maia ditemani suami tercinta, Irwan Mussry, menjadi simbol kematangan dan pendamaian antara dua wanita yang pernah dikaitkan dengan kisah cinta penuh kontroversi suatu ketika dahulu.
Dalam majlis yang berlangsung penuh adat dan tenang itu, suasana menjadi semakin bermakna apabila Irwan turut bangun dan berjabat tangan dengan Ahmad Dhani.
Perkara itu dianggap ramai sebagai babak ‘pendamaian senyap’ antara dua keluarga, walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Klip video tersebut pantas tular dan dihujani pujian orang ramai yang tersentuh dengan situasi bersejarah itu.
Ramai juga memuji keterbukaan Mulan yang hadir dengan tenang, menggambarkan kematangan dan keikhlasan dalam hubungan mereka kini.
Dengan pertemuan ini, ramai yang menganggapnya sebagai permulaan baharu ke arah hubungan yang lebih harmoni demi masa depan anak-anak dan kesejahteraan keluarga besar mereka.



