KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) sedang dalam proses merangka cadangan untuk menubuhkan Institut Adat Istiadat Sarawak atau agensi dengan mana-mana nama lain melalui Ordinan MAIS yang baharu.
Menteri di Jabatan Premier Datuk John Sikie Tayai berkata agensi itu adalah serupa dengan institusi pengajian tinggi dengan penyelidikan dan pengajaran adat boleh dijalankan kepada mereka yang ingin mengamalkan di Mahkamah Bumiputera Sarawak dan untuk sebarang tujuan akademik atau kelayakan lain.
“Institusi itu akan mempunyai jabatan atau cawangan yang menguruskan acara kebudayaan dan tradisi serta sebagai sebuah badan korporat, institusi akan meneroka kemungkinan melibatkan diri dalam perusahaan komersial atau usaha niaga untuk membiayai beberapa fungsi dan tugasnya.
“Butiran cadangan dan Rang Undang-undang itu mungkin akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian pada persidangan DUN, hari ini.
Beliau berkata MAIS sangat memerlukan sebuah agensi atau institusi yang berwibawa untuk ditubuhkan bagi menyokongnya dalam melaksanakan fungsi dan tugasnya kerana kekuatan kakitangan sekarang tidak mampu menyokong MAIS dalam melaksanakan fungsi dan tugasnya dengan cekap.
Katanya, salah satu cabaran paling serius yang dihadapi MAIS hari ini adalah untuk mengikuti perkembangan dengan penyusunan semula, peningkatan dan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi menjadikan mahkamah sebagai sistem perundangan yang bebas dan profesional.






