KUALA LUMPUR: Majikan sektor penginapan serta makanan dan minuman dikenal pasti paling liat mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan 880 kes kompaun dan pendakwaan direkodkan sejak tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dua lagi sektor dengan tahap ketidakpatuhan tertinggi seperti premis penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan (658 kes) serta sektor pengeluaran (590 kes).
Beliau berkata semua majikan digesa mengambil peluang sempena bulan pemutihan yang berlangsung dari 1 hingga 30 April ini untuk mendaftar dan mencarum secara sukarela bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Kesempatan satu bulan ini dikira peluang terakhir untuk majikan mendaftar pekerja masing-masing dan jelaskan caruman tertunggak sebelum PERKESO menjalankan penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Majikan yang tampil secara sukarela sepanjang tempoh pemutihan akan dikecualikan daripada kompaun, pendakwaan serta Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).



