KUCHING: Pekerja di Sarawak akhirnya mendapat berita gembira setelah pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) dipersetujui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk dibawa ke persidangan Parlimen akan datang.
Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak, Zaidi Nazar berkata, setelah beberapa kali perbincangan antara MTUC Sarawak dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala diadakan, ia akhirnya membuahkan hasil.
“Berita gembira buat pekerja Sarawak hasil perbincangan pihak-pihak berkenaan telah memberikan jawapan yang juga sekian lama dinantikan oleh ahli MTUC.
“Hal ini berikutan pindaan SLO telah diterima oleh KESUMA untuk dibawa ke persidangan Parlimen yang akan datang.
“Justeru, saya berharap majikan sektor swasta turut serta meningkatkan kenaikan gaji selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai penguatkuasaan kenaikan 13 peratus gaji sektor kerajaan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, melalui kepimpinan MTUC yang baharu ini, Kerajaan Sarawak percaya hubungan harmoni akan dapat membantu kerajaan dan pekerja menangani kebajikan dan persaingan serta pembangunan pekerjaan yang kompetitif.
Sebelum ini, Gerawat berkata Kerajaan Sarawak mengalu-alukan dan menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan bagi pelaksanaan gaji progresif jika inisiatif itu juga memberi manfaat kepada pekerja swasta di negeri ini.





