KUCHING: Pejabat Agama Islam Bahagian membenarkan majlis akad nikah di masjid atau surau terpilih.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, beberapa garis panduan perlu dipatuhi termasuk hanya dijalankan di masjid atau surau yang diluluskan Jabatan Agama Islam Sarawak.
“Kita membenarkan maksimum kehadiran 20 orang termasuk pasangan pengantin, jurunikah dan saksi.
“Sementara itu, akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar/Penolong Pendaftar NCR,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.
Menurutnya, garis panduan lain termasuk tiada upacara sampingan seperti membatalkan air sembahyang dan memasang cincin.
“Sehubungan itu, had masa majlis akad nikah tidak boleh melebihi 20 minit.
“Majlis perlu dibatalkan sekiranya ada kalangan individu yang mengalami simptom dan disahkan positif Covid-19,” ujarnya.



