DARO : Program khatan beramai-ramai yang dianjurkan Perkip dan Pusat Khidmat DUN N.43 Daro, mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 110 kanak-kanak.
Sehubungan itu, ADUN N.43 Daro, Safie Ahmad berkata, kesemua peserta yang berusia lapan hingga 12 tahun terdiri daripada anak warga Daro dan kawasan sekitarnya.
“Program berkhatan beramai-ramai jadi tradisi yang tidak dilupakan.Kita mengambil inisiatif menggabungkan konsep moden dan tradisional bagi mengimbau semula nostalgia zaman kanak-kanak.
“Majlis seumpama ini mampu membuka mata anak muda mengenai pentingnya meneruskan amalan baik generasi terdahulu. Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi mengembangkan syiar Islam melalui hubungan silaturahim,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Beliau berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat bagi meringankan beban ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya,ia dilangsungkan pada musim cuti persekolahankerana sesuai dan lebih meriah diadakan secara beramai-ramai.
“Saya berterima kasih kepada ibu bapa dan penduduk Daro yang kerana memberi kerjasama menjayakan program berkenaan.
Sambutan baik ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.