KUCHING: Timbalan presiden Majlis Perundingan Kepimpinan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada pemimpin Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata di bawah kepimpinan pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), Majlis Perundingan Pimpinan sudah tiga kali mengadakan mesyuarat bulanan.
“Majlis Perundingan Pimpinan juga telah membentuk tiga Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik, Jawatankuasa Perundingan dan Jawatankuasa Komunikasi Strategik.
“Ketiga-tiga Jawatankuasa itu juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat,” katanya ketika membentangkan laporan ringkas usaha Sekretariat Kerajaan Perpaduan semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang disiarkan secara langsung melalui Laman Facebook semalam.
Menurut Fadillah, walaupun kerajaan perpaduan ditubuhkan kira-kira enam bulan lalu, namun melalui Majlis Perundingan Pimpinan dan Jawatankuasa yang dibentuk, ia menjadi medan bagi pucuk pimpinan parti untuk berbincang dan menyatukan fikiran dalam perkara kepentingan bersama.
Beliau berkata idea penubuhan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dibincangkan bersama dalam kalangan pemimpin parti yang membentuk kerajaan perpaduan.
Selepas melalui beberapa siri perbincangan, beliau berkata, pada 8 Februari lalu, satu mesyuarat pimpinan utama parti yang dipengerusikan oleh Anwar telah diadakan di Tingkat 36 Pusat Dagangan Dunia Menara Dato Onn yang secara rasmi ketika itu menjadi Pejabat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Mesyuarat pimpinan utama membuat keputusan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Majlis Perundingan Kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Manakala keahlian terdiri daripada presiden dan pemimpin tertinggi parti komponen bagi setiap gabungan,” tambahnya.