KUCHING: Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Ex Star 2025 yang membabitkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman (Star) 1972 berlangsung dalam suasana meriah, malam kelmarin.
Seramai 60 bekas pelajar sekolah terbabit turut serta selain dihadiri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Samariang, Datuk Dona Babel.
Koordinator Program, Datuk Rahman Lariwoo menegaskan, program santai berkenaan lebih kepada objektif asal iaitu bertemu kembali dengan rakan lama.
Menurut beliau, sejajar dengan suasana lebaran yang masih lagi diraikan ketika ini, ia secara tidak langsung dapat mengimbau kembali kenangan rakan sekelas suatu ketika dahulu.

“Program cukup bermakna bagi kami apabila dapat bertemu kembali dengan rakan sekolah sejak sekian lama tidak bersua.
“Kami semua dapat bersama-sama meraikannya dalam suasana Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya ketika berucap ringkas pada majlis tersebut.
Terdahulu beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakannya kerana dapat meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan.



