KUCHING: Sebanyak 156 gerai ditawarkan sempena penganjuran Majma Raya Fest 2023 kali ketujuh sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, acara tahunan setiap kali menjelang Ramadan itu juga bukan hanya dibuka untuk masyarakat Islam tetapi juga untuk mereka yang bukan Islam.

“Setakat ini, mengikut pengalaman kita sepanjang tahun sebelumnya, sambutan yang kita terima amat menggalakkan dan berharap keadaan itu sama tahun ini.
“Kita bukan hanya mempunyai gerai di khemah bahagian luar, tetapi juga dalam bangunan Majma Mall bahagian bawah kerana selain baju, kita turut menawarkan biskut dan kuih raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Majma Raya Fest 2023, di Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi merangkap Bendahari Kehormat Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati) Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Waktu operasi Majma Raya Fest 2023 adalah dari jam 10 pagi hingga 10 malam bermula 23 Mac hingga 22 April ini.

Selain dari lot jualan, pengurusan Kompleks Islam Sarawak Kuching turut menyediakan Kaunter Pembayaran Zakat fitrah, kemudahan surau yang luas mampu menampung 400 jemaah dan solat tarawih turut diadakan sepanjang bulan Ramadan ini.
Selain itu, semua pengunjung Majma Raya Fest 2023 juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang diadakan sepanjang minggu dan akan memenangi kupon bernilai RM250 seorang serta hadiah-hadiah yang lain.