ARTIKEL

Makan secara sederhana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKAN banyak tetapi badan sentiasa kekal kurus?

Kurus tidak semestinya badan kita dalam keadaan sihat.

Kajian menunjukkan walaupun seseorang individu itu memiliki berat badan ideal, namun tanpa disedari lemak berkumpul di organ penting abdomen seperti jantung, hati dan ginjal.

Situasi ini dikenali sebagai ‘kurus di luar, gemuk di dalam’.

Perkara ini boleh terjadi dalam pelbagai punca khususnya daripada pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan segera, minuman manis, stres, tidak cukup tidur, tidak aktif bersenam, merokok dan tidak makan sayur serta buahbuahan.

Individu di dalam kategori ‘kurus di luar, gemuk di dalam’ akan cenderung menghidapi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan kolestrol.

Kesimpulannya, tubuh kurus tidak bermakna anda lolos daripada risiko penyakit mentabolik jika tidak menjaga kesihatan atau mengawal cara pemakanan.

Adakah anda salah seorang individu ‘kurus di luar, gemuk di dalam’?

Individu dalam kategori ini kebiasaannya memiliki berat badan yang normal, kurus, tidak aktif atau cergas, cepat berasa letih dan kadangkala nampak pucat.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, tanggapan orang kurus iaitu mereka sihat dan tidak akan terkena penyakit yang kerap kali dikaitkan dengan obesiti adalah salah sama sekali.

Malah, ada antara mereka yang dilihat secara luarannya berbadan kurus itu juga sebenarnya berhadapan dengan masalah obesiti tanpa disedari, ujarnya.

“Banyak faktor menyumbang seseorang itu mendapat permasalahan tersebut.

Bagaimanapun penyebab utamanya ialah pemakanan tidak sihat, lebih lemak, lebih gula daripada makanan manis atau minuman tinggi gula.

“Minuman alkohol yang kerap juga berupaya menyebabkan kebuncitan kerana kalori tinggi.

Kurang masa dan kualiti waktu tidur atau masalah tidur juga dikaitkan penambahan buncit.

“Penyebab lain kebuncitan tetapi bukan akibat lemak, ialah jika mengalami penyakit lain yang boleh menyebabkan perut buncit akibat asites iaitu busung.

Selain mereka juga kurang aktiviti fizikal contohnya duduk rumah, menonton televisyen, tidak bersukan,” katanya

. Sementara itu kata Dr Sharifa, orang yang berbadan kurus juga mempunyai ‘lemak yang tanpa disedari’ dan turut berisiko menjejaskan kesihatan mereka.

Jelasnya, sekiranya perut buncit, boroi atau gelebeh, hakikatnya, keadaan ini bukanlah sesuatu yang normal bagi kalangan remaja mahupun dewasa.

“Individu lelaki yang mempunyai ukuran lilit pinggang 90 sentimeter dan 80 sentimeter bagi perempuan sebenarnya berhadapan masalah ‘obesiti abdomen’.

“Ia melibatkan lebihan lemak pada bahagian perut dan organ penting dalam abdomen, sekali gus menyebabkan saiz perut badan seseorang individu itu lebih besar atau tidak sepadan dengan keseluruhan tubuh pemiliknya.

“Ada orang itu gemuk tetapi tidak buncit jadi dia mungkin hanya alami masalah terlebih berat badan atau obes. Ada pula yang gemuk dan buncit jadi turut berisiko mengalami masalah obesiti abdomen.

“Tetapi, tanpa kita sedari masalah obesiti abdomen juga menyerang orang kurus yang berperut boroi, bahawa saiz ukuran pinggangnya melebihi kiraan tertentu.

Memang mereka nampak kurus pada luaran kecuali sekiranya pakai pakaian agak ketat, barulah nampak bentuk perut mereka yang sebenar,” jelasnya.

Menurut beliau, di perut terdapat kawasan ruang kosong yang dipanggil visera yang sangat mudah sel lemak ditimbunkan di situ. Ruang itu akhirnya menjadi tebal dengan lemak visera.

Keadaan inilah yang akhirnya meningkatkan ukur keliling perut dan sekiranya melebihi kiraan tertentu ia berisiko menjadi obesiti abdomen.

Dalam hal ini, bukanlah bermakna pengumpulan lemak tidak bertimbun di ruang organ badan lain selain kawasan abdomen.

Namun, ruang organ lain pada badan mempunyai sel otot dan mudah dikawal kerana berlakunya pergerakan serta senaman otot, maka pengumpulan lemak di kawasan lain mengambil masa berbanding perut.

Lemak tersembunyi di dalam badan golongan ini hanya boleh dilihat menerusi ujian imbasan MRI atau ujian darah untuk mengesan paras kolesterol, gula dan fungsi organ.

Lebih bahaya, akibat sentiasa langsing, mereka tidak mengawal pemakanan dan tidak menjaga kesihatan.

Mereka juga tidak pergi menjalani ujian saringan kesihatan seperti orang lain.

Kesimpulannya, tubuh kurus tidak bermakna anda lolos dari risiko penyakit metabolik.

Makanlah dengan kadar sederhana ini kerana, kurus bukan lesen untuk tidak menjaga kesihatan.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU