PENUBUHAN Lifepsantree membantu golongan B40 terutama yang berada di luar bandar dalam bidang keusahawanan.
Ia merupakan jenama pertama dan satu-satunya yang menjual makanan traditional Sarawak dalam tin seperti ayam kampung pansuh, ikan terung asam, rebus rebung belacan dan lain-lain.
Pemilik Lifespantree dan majalah Kino, Marian Chin berkata, Lifespantree ditubuhkan semasa pandemik Covid-19 iaitu kesinambungan kepada majalah Kino yang menceritakan tentang budaya dan tradisi di Sarawak.
Katanya, majalah tersebut terhenti ketika pandemik dan berpendapat menggunakan dana bagi menubuhkan Lifespantree daripada membelanja untuk cetakan.
Majalah Kino beroperasi sejak 2012 yang kini diteruskan melalui digital. “Kita dilanda pandemik Covid-19 dan saya menulis untuk mendapatkan geran daripada pihak Yayasan Hasanah.
“Geran yang diterima khas berkaitan Covid-19. Jadi Lifespantree membeli daripada pembekal petani golongan B40.
“Ramai petani tidak mempunyai ruang untuk berniaga ketika itu.
“Apabila kami membeli daripada pembekal ini, kami memproses dan memberikannya kepada B40 yang lain,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
MAKANAN BERKHASIAT
Beliau mendapati kos satu tin ikan sardin berharga RM9 dan bahan produk tersebut tidak berkhasiat.
Justeru, Marian berasa sudah tiba masanya Sarawak menghasilkan makanan traditional menggunakan pembungusan tin yang boleh didapati di pasar raya.
Apabila memulakan perniagaan, ia sangat sukar kerana memerlukan modal yang banyak untuk melabur sesuatu yang baharu.
Harga ayam kampung mahal dan telur ayam kampung mengambil masa empat bulan berbanding ayam biasa yang mengambil masa enam minggu untuk mengeram telur.
Pihak Lifespantree berbincang dengan para petani untuk menternak ayam kampung dan dijualkan kepada mereka bagi pemprosesan ayam kampung pansuh di dalam tin.
Keistimewaan pengeluaran produk tersebut ialah tiada bahan pengawet atau mononatrium glutamate (MSG). Bahkan, terdapat maklumat seperti nama petani, asal usul tempat buatan dan lain-lain.
Menurut Marian, langkah Lifespanstree seterusnya ialah membuat satu siri resipi pusaka keluarga yang mempunyai wajah dan nama orang yang memberi resipi kepada mereka pada setiap label tin.
Terdapat enam resipi dalam perancangan termasuk resipi Kelabit, bubur pedas buatan sendiri hasil daripada resipi pusaka.
Cabaran hanyalah bekalan yang berterusan untuk pengeluaran produk makanan traditional Sarawak di dalam tin.
TAMBAH BAIK PRODUK
Bagi mengatasi masalah bahan bekalan, mereka bekerjasama dengan petani dan penternak sebagai pembekal utama. Ujar Marian, mereka melaburkan kepada petani dengan membelikan keperluan menghasilkan produk tersebut.
Di samping itu, harga untuk produk yang dijual berdasarkan kualiti dan nilai pemakanan yang tinggi nutrien.
Produk yang dijual berharga RM12 kecuali ayam kampung pansuh berharga RM15 yang berpatutan dan mampu milik untuk semua orang.
Marian sangat gembira kerana mendapat maklum balas positif ke atas keluaran produk Sarawak dalam tin itu.
“Pada mulanya, ada pelanggan menerima tin yang tidak penuh dengan isi, tidak konsisten, terlalu banyak serbuk ubi kayu dan banyak lagi.
“Selepas membuat penambahbaikan, kami tidak lagi menerima sebarang maklum balas negatif.
“Namun, ada yang datang kepada kami kerana makanan dalam tin itu tidak cukup manis dan masin.
“Ia disebabkan kami ingin menjaga nilai pemakanan yang berkhasiat dan makanan dalam tin itu boleh ditambah rasa mengikut cita rasa masing-masing,” ujarnya.
Marian juga memberi nasihat kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan dalam tin untuk menghasilkan produk sendiri dengan banyak melakukan penyelidikan.
Pada masa yang sama, Lifespantree kini mengubah suai sebuah kedai yang terletak di bandar raya Kuching yang berhampiran dengan Hotel Telang Usan.
Kedai tersebut bukan sahaja untuk produk yang dihasilkan di dalam tin, tetapi membawa barangan kering daripada petani supaya mereka mempunyai tempat untuk berniaga.
Produk tersebut boleh didapati di aplikasi Shopee Lifespantree atau di Facebook, Instagram dan TikTok sementara menunggu kedai sedia beroperasi.
Produk dalam tin ini memberi rasa keaslian dengan resipi orang dahulu.



