KUCHING: Sarawak sekali lagi melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi negeri penganjur pertama yang membangunkan aplikasi khas sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, aplikasi yang dibangunkan Kerajaan Sarawak itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan berita terkini mengenai temasya tersebut.
“Pembangunan aplikasi ini juga sebagai menyahut seruan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkasakan perkhidmatan melalui inisiatif digital ekonomi.
“Memandangkan zaman kini kita semua mempunyai telefon pintar sendiri. Maka pengwujudan aplikasi ini amat bertepatan kerana kejohanan SUKMA sangat penting dan diharap semua rakyat Sarawak dapat memuat turun aplikasi tersebut supaya dapat mengetahui kemas kini dan perkembangan harian,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Aplikasi SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Pertandingan Fotografi dan Videografi SUKMA XXI di sini, hari ini.
Tambahnya, aplikasi yang menawarkan kemas kini keputusan masa nyata kejohanan dan maklumat mengenai acara sukan negara kepada orang ramai itu boleh dimuat turun di Apple store, Play store dan AppGallery menggunakan platform IOS, Android dan Huawei.
“Saya juga percaya semua kontinjen negeri-negeri lain akan turut memuat turun aplikasi ini kerana ia mengandungi semua maklumat penting berkaitan khususnya jadual acara, keputusan, kedudukan semasa, lokasi pertandingan dan kutipan pingat.
“Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan berita terkini dan menonton video atau penstriman langsung 20 jenis sukan menerusi pautan siaran televisyen terutamanya TVS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bermula hari ini hingga 28 September, Pusat Command atau pusat kawalan operasi bagi SUKMA XXI Sarawak 2024 turut diaktifkan.
“Pusat ini akan membantu Sekretariat SUKMA memantau perjalanan SUKMA dan PARA SUKMA di 50 lokasi pertandingan di sembilan bahagian seluruh Sarawak.
“Melalui pusat ini, kita dapat memantau pertandingan secara langsung dan kedudukan semasa pungutan pingat. Juga memantau melalui Sistem Pengurusan Kejohanan termasuk segala maklumat logistik, pengagihan penginapan, pengangkutan, sajian dan sukarelawan serta petugas.
“Selain itu, ia turut memaparkan siaran secara langsung pertandingan-pertandingan yang sedang berlaku di lokasi-lokasi terpilih,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu jumlah terkini atlet dan pegawai bagi kesemua 15 kontinjen adalah seramai 10,343 orang.
Ini tidak termasuk petugas sekretariat, sukarelawan yang kesemuanya berjumlah kira-kira 17,000 orang menjadikan keseluruhan anggota terlibat dalam SUKMA Sarawak adalah sekitar 27,000 hingga 28,000 orang.



