Makmal halal berkonsep wakaf pertama di Sarawak

KUCHING: Satu Makmal Analisis Halal berasaskan kosep wakaf pertama di Sarawak akan dibuka kepada orang awam pada petengahan September tahun ini.

Menurut Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr. Jamil Haji Hamali berkata untuk fasa pertama makmal tersebut telah mula beroperasi di peringkat dalaman.

“Pada fasa pertama ini kita hanya beroperasi secara dalaman iaitu melibatkan penyelidikan dan pengesahan DNA haiwan,

“Apabila keseluruhan fasa telah siap, makmal ini akan berupaya memberikan perkhidmatan yang komprehensif khasnya melibatkan penyelidikan dan pengesahan halal untuk DNA haiwan, kulit, material dan toyyiban,” ujarnya

Beliau berkata demikian berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Tabung Biaitulmal Sarawak dan Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, Jamil menjelaskan melalui penubuhan Insititut Perwakafan dan Penyelidikan Hala (IWaH) oleh UiTM dengan kerjasama Tabung Baitulmal ini telah banyak berperanan dalam memperkasakan sistem wakaf dan mengembangkan penyelidikan halal yang meliputi keseluruhan kepulauan Borneo.

“IWaH telah menggabungkan tenaga pakar dalam bidang syariah dan sains, dan sehingga kini, seramaI lapan orang saintis dari fakulti sains telah bekerjasama dengan para pensyarah dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),

“Mereka telah menyumbang kepakaran dan kemahiran dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan hasrat dan matlamat penubuhan IWaH UiTM Sarawak ini.

Menurut Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datuk Haji Abg Mohd Shibli Haji Abg Mohd Nailie berkata menerusi penubuhan makmal ini beliau berharap keraguan dan was-was dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini dapat dihapuskan.

Tambahnya perkara ini ialah satu usaha terbaik sebagai umat Islam apatah lagi melibatkan pelbagai kajian saintifik tentang pengesahan halal sesuatu produk melalui makmal ini.

“Kita sebagai umat Islam diamanahkan untuk mencari jalan yang terbaik dalam merealisasikan apa saja yang berkaitan dengan aspek halal ini walaupun banyak cara dapat digunakan,

“Kita dapati dari segi perkembangan dan kesedaran halal dalam kalangan masyarakat begitu hebat pada masa kini dan usaha untuk mewujudkan makmal yang pertama di Sarawak ini satu usaha yang lebih dari kebiasannya,” katanya

Beliau turut memuji usaha UiTM dan menggesa semua institusi pengajian tinggi yang lain untuk mencontohi usaha UITM ini dalam membangunakan industri halal dan wakaf pada masa yang sama.