LONDON: Pemilihan makmal semikonduktor di United Kingdom (UK) merupakan langkah strategik yang membolehkan Sarawak bekerjasama dengan pemain antarabangsa, sekali gus memperluaskan jangkauan penyelidikan dan pembangunannya.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut juga mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian global industri berteknologi tinggi itu.
“Kami perlu bekerjasama dengan pemain global lain agar dapat memperluaskan jangkauan dalam bidang semikonduktor.
“Dari aspek lain, hasil penyelidikan di sini kelak boleh membawa kepada penubuhan faundri di Sarawak sendiri,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan keteq.GaN dan penukar kuasa keteq.ai sempena pameran Mikroelektronik di sini, semalam.
Menurutnya, Sarawak bertuah kerana memiliki pelabur dan rakan strategik seperti X-FAB serta Melexis, disokong pula oleh penyelidikan melalui Catapult UK.
“Dengan teknologi baharu seperti keteq.GaN, Sarawak berupaya membangunkan faundri bersama X-FAB di negeri ini, sekali gus membuka ruang lebih luas dalam rantaian nilai global,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menyentuh langkah Kerajaan Sarawak mengambil alih MASwings (Airborneo) yang bakal menyediakan perkhidmatan kargo udara bagi memperkukuh rantaian logistik.
“Dengan adanya perkhidmatan kargo udara, kita boleh menghantar produk ke pasaran bernilai kira-kira AS$3 bilion. Banyak pelaburan kini tertumpu di ASEAN, dan itu akan menjadi ‘off-taker’ bagi cip yang dihasilkan.
“Tetapi, kita perlu mereka bentuk cip yang selaras dengan keperluan industri semasa, khususnya sektor automotif.
“Peralihan global daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau, termasuk hidrogen, akan mendorong keperluan cip baharu,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Datuk Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil; serta Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera.







