KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melaksanakan inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah (RAUDHAH) sebagai manifestasi komitmen berterusan terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan insan.
Pemangku Pengurus Besar SEDC, Rakayah Hamdan, berkata inisiatif itu bukan sekadar penyerahan sumbangan, malah mencerminkan tanggungjawab sosial serta aspirasi SEDC dalam membina kemakmuran Sarawak secara menyeluruh dan berimpak, selaras dengan gagasan Memakmurkan Sarawak Hari Ini untuk Hari Esok.
“Dalam usaha memakmurkan Sarawak untuk generasi akan datang, pendidikan memainkan peranan penting dan institusi pendidikan Islam seperti RAUDHAH bukan sahaja melahirkan generasi berilmu, malah membentuk insan yang berakhlak, berdisiplin serta berintegriti.
“Inilah asas kepada pembentukan modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada kestabilan sosial, kepimpinan beretika dan kemakmuran Sarawak pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Keperluan Makanan di Menara SEDC, Jalan Isthmus, di sini, hari ini.
Beliau berkata sumbangan keperluan makanan yang disalurkan itu diharap dapat membantu meringankan kos operasi harian maahad, menyokong keperluan pelajar sepanjang tempoh pengajian serta memastikan kelangsungan operasi institusi pendidikan berkenaan.

“Program CSR ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan SEDC dalam menyantuni keperluan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Rakayah memaklumkan SEDC sebelum ini turut melaksanakan inisiatif CSR yang hampir sama di Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman, pada 17 Disember lalu, melibatkan penyerahan peralatan dan keperluan asas bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.
Sehubungan itu, SEDC menyerahkan sumbangan keperluan asas berjumlah RM19,420 kepada RAUDHAH bagi kegunaan sepanjang tahun 2026.




