PETANG itu, ketika memandu pulang ke rumah, mata saya tertumpu kepada seorang lelaki tua di hadapan sebuah rumah yang agak usang.
Rumah yang perlukan penambahbaikan.
Dengan penuh teliti, lelaki tua itu mengikat Jalur Gemilang pada sebatang buluh.
Tiada sesiapa yang memerhatikannya.
Cuma dia seorang.
Juga tiada kamera yang merakam detik itu, namun pada wajahnya jelas terpancar rasa bangga yang sukar untuk digambarkan.
Saya memperlahankan kereta.
Terdetik satu persoalan di hati.
Mengapa setiap kali Ogos tiba, masih ada insan yang begitu tekun memastikan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak dikibar sempurna?
Sedangkan dalam dunia yang kian sibuk hari ini, tidak sedikit yang menganggap mengibar bendera hanya sebagai satu rutin tahunan.
Fikir saya, bagi lelaki tua itu, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang berwarna merah, putih, biru dan kuning.
Pada setiap jalurnya tersimpan kisah sebuah perjuangan yang hebat.
Pada bulan sabit dan bintang empat belas bucu itu pula terletak harapan sebuah bangsa dan setiap kibarannya ada doa agar negara ini terus aman, makmur dan dihormati.
Kita yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan mungkin tidak pernah merasai derita hidup di bawah penjajahan. Kita tidak pernah mendengar dentuman meriam di hadapan rumah dan kita juga tidak pernah hidup dalam ketakutan kehilangan tanah air sendiri.
Yang kita kenal hanyalah Malaysia — sebuah negara yang aman, sekolah dibuka setiap pagi, masjid dan gereja berdiri megah, jalan raya yang menghubungkan desa dengan kota serta peluang untuk mengejar impian tanpa ada halangan.
Namun demikian, nikmat yang terlalu lama dinikmati juga sering menjadi nikmat yang paling mudah dilupakan.
Perlu difahami, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada cengkaman penjajah.
Kemerdekaan juga bermaksud bebas daripada banyak perkara negatif — rasuah, kebencian dan sikap mementingkan diri sendiri.
Suatu ketika dahulu, seperti ditayangkan dalam filem, musuh datang menggunakan kapal dan membawa senapang.
Hari ini, musuh datang dalam bentuk fitnah, perpecahan, berita palsu dan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan.
Medan peperangan ialah media sosial yang tiada had sempadan.
Seperti orang lain, saya juga percaya bahawa kekuatan sesebuah negara tidak bermula di kompleks parlimen atau di pejabat-pejabat besar, sebaliknya bermula dari rumah.
Seorang bapa yang mengajar setiap anaknya menghormati jiran sebenarnya sedang membina perpaduan, manakala ibu yang mendidik anak-anaknya bercakap benar sebenarnya sedang membina integriti.
Guru yang mengajar pelajar-pelajarnya dengan ikhlas pula sedang melahirkan warganegara yang cintakan ilmu. Seterusnya, peniaga yang jujur dalam berniaga sedang mempertahankan maruah negara.
Inilah wajah patriotisme sebenar yang tidak semestinya lahir di medan perang, sebaliknya hadir dalam tindakan kecil yang dilakukan setiap hari.
Kadangkala kita terlalu sibuk bertanya, “Apa yang negara telah berikan kepada kita?”
Sedangkan persoalan yang lebih besar ialah, “Apakah sumbangan kita kepada negara?”
Malaysia tidak meminta sesuatu yang mustahil daripada rakyatnya, sebaliknya hanya meminta kita menjadi manusia yang ada amanah.
Kita dituntut untuk mematuhi undang-undang, menjaga kebersihan, menghormati perbezaan dan menolak fitnah.
Seterusnya bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
Semua ini memang kelihatan kecil, tetapi apabila dilakukan oleh lebih 30 juta rakyat Malaysia, ia sebenarnya menjadi kekuatan yang tidak akan mampu digugat.
Juga harus diketahui, anak-anak hari ini bakal mewarisi Malaysia yang kita bina.
Jika hari ini kita mewariskan kebencian, anak-anak kita suatu hari kelak akan hidup dalam perpecahan.
Jika kita mewariskan kejujuran dan segala perkara positif, anak-anak kita suatu hari kelak akan membina sebuah negara yang lebih bermaruah.
Sesungguhnya, warisan yang paling berharga bukan bangunan pencakar langit atau lebuh raya yang panjang, tetapi nilai yang tertanam dalam jiwa setiap rakyatnya.
Kembali kepada lelaki tua tadi, sebelum saya meneruskan perjalanan pada petang itu, saya sempat menoleh sekali lagi ke arahnya.
Jalur Gemilang yang baru dipasangnya mula berkibar ditiup angin.
Saya tersenyum.
Yang berkibar bukan hanya sehelai bendera, tetapi juga berkibarnya rasa syukur, kenangan perjuangan dan harapan terhadap masa hadapan.
Mudah-mudahan, setiap kali kita melihat Jalur Gemilang berkibar, kita tidak hanya mengangkat tangan memberi hormat, sebaliknya, kita mengangkat tekad untuk menjadi rakyat yang lebih baik daripada semalam.
Ini kerana Hari Kebangsaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyertai perarakan pada setiap 31 Ogos setiap tahun.
Tetapi ia adalah simbol perpaduan rakyat berbilang kaum mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara.
Apabila Jalur Gemilang berkibar di halaman rumah kita, pastikan semangatnya turut berkibar di dalam hati kita kerana negara yang hebat tidak hanya memiliki bendera yang megah, tetapi rakyat yang memahami makna di sebalik setiap kibarannya.



