TRADISI sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sememangnya unik. Amalan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi misalnya, menjadi jambatan yang kukuh menyatukan hati.
Inilah waktu terbaik untuk memohon maaf, bertanya khabar dan merapatkan kembali hubungan yang kian renggang akibat kesibukan hidup.
Namun begitu, tanpa disedari kita sering membazir makanan, berbelanja di luar kemampuan demi menjaga status serta lebih menitikberatkan keindahan luaran berbanding pengisian rohani.
Dalam keghairahan membuat persiapan Aidilfitri, kadangkala kita terlepas pandang makna sebenar di sebalik kemeriahan tersebut.
Saban tahun, sambutan raya yang serba meriah seolah-olah menjadi trend yang mendominasi media sosial dan gaya hidup masyarakat.
Daripada hiasan rumah yang mewah hingga kepada busana sedondon yang mencecah ribuan ringgit, kemeriahan seakan-akan diukur berdasarkan apa-apa yang terlihat pada pandangan mata.
Namun, adakah itu sebenarnya inti pati Aidilfitri? Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185, Allah berfirman: “… Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir mengagungkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
Hakikat sebenar hari raya adalah meraikan kemenangan setelah sebulan menempuh ujian Ramadan dengan bertakbir mengakui keagungan Allah SWT.
Ia bukan sekadar kemenangan menahan lapar dan dahaga, tetapi kemenangan mengawal nafsu, mendidik jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ramadan sepatutnya mendidik kita untuk menginsafi diri dan merasai kesusahan golongan fakir.
Namun, jika raya disambut dengan pembaziran, pengajaran tersebut seolah-olah hilang sebaik sahaja takbir berkumandang.
Menyambut raya secara sederhana bukan bermakna kita tidak boleh bergembira.
Kesederhanaan ialah tanda syukur dan cara menghargai nikmat Tuhan tanpa menjadi hamba kepada trend.
Marilah kita jadikan Aidilfitri kali ini sebagai sambutan yang penuh keinsafan, kegembiraan yang dikongsi bersama-sama, pembaziran yang dihindari dan kesyukuran yang menghiasi hati.



