ARTIKEL

Gambar hiasan

Makna sebenar cuti sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CUTI sekolah antara yang dinanti semua orang yang pernah bergelar pelajar.

Saya yakin kita pernah melalui perasaan teruja menantikan saat tersebut.

Walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan zaman persekolahan, saya masih ingat perasaan gembira apabila tiba Jumaat terakhir persekolahan.

Semuanya akan dikemaskan sebelum meninggalkan sekolah selama tempoh sebulan.

Semasa sekolah rendah, sememangnya bermain di luar, mandi sungai, main masakmasak dan sebagainya yang menjadi misi utama yang perlu dilakukan.

Bukan itu sahaja, kehadiran sepupu dari jauh memeriahkan lagi cuti sekolah di kampung dan inilah peluang untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

Jika tidak menonton televisyen, tentunya riuh suara kanak-kanak mandi sungai dengan masing-masing akan menunjukkan kehebatan tersendiri melakukan terjunan dari jeti ke dalam sungai.

Mengimbau kembali cuti sekolah semasa sekolah rendah, kebiasaannya saya tidak pergi ke mana-mana dan hanya tinggal di rumah kerana sepupu dan rakan-rakan dari luar Mukah akan datang.

Kami akan melakukan aktiviti mandi sungai, main masak-masak dan jika keadaan pada waktu itu berangin, kami akan membuat layang-layang menggunakan plastik.

Bukan itu sahaja, kebiasaannya cuti pada hujung tahun adalah musim buah dan inilah kenangan paling tidak dapat dilupakan kerana berpeluang ke hutan menikmati hasil alam bersamasama keluarga.

Sepanjang enam tahun berada di sekolah rendah, ibu dan ayah akan menyuruh kami adik-beradik membaca buku teks semua subjek walaupun semasa cuti sekolah.

Walaupun kedengaran seperti strict kerana cuti perlu menelaah buku, tetapi ia adalah perkara paling seronok dilakukan.

Saya juga ingat dahulu, kami adik-beradik akan mengulang kaji menggunakan kamus bergambar dan kemungkinan besar kita semua pernah memiliki kamus bergambar semasa berada di sekolah rendah.

Melalui gambar yang ditunjukkan, ia akan menerangkan satu-satu benda dan meletakkannya dalam pelbagai bahasa dan kami akan mencari gambar mengikut nama yang ditunjukkan.

Jika ingin diceritakan, cuti sekolah adalah tempoh paling menyeronokkan bagi mereka yang bergelar pelajar selepas berbulan-bulan menjalani rutin pembelajaran yang padat dan mencabar.

Ia bukan sekadar waktu rehat daripada buku dan tugasan, malah menjadi ruang penting untuk pemulihan emosi, pengukuhan hubungan kekeluargaan serta pembentukan pengalaman baharu di luar bilik darjah.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, cuti sekolah membawa makna kebebasan dan keseronokan.

Tanpa keperluan bangun awal pagi untuk ke sekolah, mereka mempunyai lebih masa untuk bermain, berehat dan melakukan aktiviti yang digemari.

Keadaan ini secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan dan keletihan mental yang mungkin terkumpul sepanjang sesi persekolahan.

Namun, cuti sekolah bukan hanya tentang hiburan semata-mata.

Ia juga boleh dimanfaatkan sebagai tempoh pembelajaran tidak formal yang sama pentingnya dengan pembelajaran akademik.

Pengalaman harian, interaksi sosial dan aktiviti praktikal mampu menyumbang kepada perkembangan sahsiah serta kemahiran insaniah kanakkanak.

Bagi ibu bapa pula, cuti sekolah sering hadir dengan cabaran tersendiri.

Keperluan mengurus masa anak-anak di rumah, merancang aktiviti  berfaedah serta memastikan keselamatan mereka menjadi keutamaan.

Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Perancangan awal menjadi kunci utama bagi memastikan cuti sekolah berjalan dengan lancar dan bermakna.

Aktiviti yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat mengisi masa lapang anak-anak, malah membantu membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, penggunaan gajet secara berlebihan sering menjadi isu utama ketika cuti sekolah.

Tanpa kawalan yang wajar, masa yang sepatutnya dimanfaatkan secara produktif boleh dihabiskan sepenuhnya di hadapan skrin.

Sehubungan itu, peranan ibu bapa amat penting dalam menetapkan had dan garis panduan penggunaan peranti digital.

Pendekatan tegas tetapi berhemah dapat membantu anak-anak memahami kepentingan pengurusan masa yang seimbang.

Aktiviti fizikal juga tidak wajar diabaikan sepanjang cuti sekolah.

Sukan, riadah dan permainan luar bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah menyumbang kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.

Seiring dengan perubahan zaman, konsep cuti sekolah juga perlu dilihat secara lebih holistik.

Ia bukan lagi sekadar waktu rehat, tetapi ruang untuk pembangunan menyeluruh dari segi intelek, emosi, sosial dan fi zikal.

Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat perlu memainkan peranan masingmasing dalam memastikan cuti sekolah memberi manfaat maksimum kepada generasi muda.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU