Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 pada penghujung Mei lalu menjadi pemangkin utama perkembangan sosioekonomi di Kampung Maludam.
Siapa sangka, kampung yang dahulunya hanya dikenali kerana mempunyai taman negara yang menjadi habitat spesies haiwan yang jarang ditemui, iaitu kera Belanda atau lebih dikenali sebagai ‘monyet berhidung mancung’, kini menjadi persinggahan utama pengunjung setiap kali melalui jambatan yang mencatat rekod sebagai jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia.
Kampung kecil yang kini dianggarkan mempunyai sekitar 6,000 penduduk itu seolah-olah berubah wajah. Mana tidaknya, daripada sebuah kawasan yang dahulunya lengang tanpa kesesakan lalu lintas, kini ia bagaikan pusat transit bagi mereka yang mengunjungi jambatan tersebut.
Situasi itu jelas terbukti terutama ketika musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai baru-baru ini.
Suasana di jalan utama Kampung Maludam kini jauh berbeza berbanding sebelum ini. Laluan dari kedua-dua arah sentiasa dipenuhi kenderaan yang keluar masuk ke kawasan tersebut.
Gerai makanan di sekitar Market MDB Maludam turut menerima limpahan pengunjung, khususnya pada waktu siang. Kebanyakan mereka singgah untuk menjamu selera selepas menikmati pemandangan dari Jambatan Batang Lupar 1.
Kira-kira enam kedai makan yang beroperasi di pusat makanan itu menawarkan pelbagai hidangan yang menjadi pilihan pengunjung.
Dengan kedudukannya yang strategik di tepi jalan utama menuju ke Kampung Maludam, pusat makanan tersebut menjadi lokasi persinggahan utama bagi pengunjung yang ingin berehat atau menikmati juadah sebelum meneruskan perjalanan.
Turut menjadi perhatian ialah Dataran Budaya Maludam yang baharu, yang terletak berhadapan premis baharu di tepi jalan utama, sekali gus menjadikan pemandangan di sekitar Kampung Maludam lebih menarik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor memaklumkan, projek bernilai RM1 juta itu sedang rancak dilaksanakan bagi menyediakan ruang yang selesa kepada masyarakat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan program komuniti.
Kewujudan dataran tersebut sedikit sebanyak mencorakkan landskap kawasan berkenaan menjadi lebih menarik serta mendapat perhatian ramai walaupun pembinaannya masih belum siap sepenuhnya. Dataran ini dijangka dirasmikan dalam masa terdekat.
Suasana di kawasan itu juga menjadi lebih meriah dengan kehadiran masyarakat yang dilihat teruja terhadap kewujudan dataran tersebut.
Turut menjadi perhatian pengunjung ialah bangunan pasar lama yang terletak di Kampung Tengah, Maludam. Pasar lama itu kini turut berubah wajah apabila dibaik pulih dengan pembinaan pekarangan yang lebih luas demi keselesaan pengunjung.
Keunikan kawasan tersebut terletak pada lokasinya yang bersebelahan dengan sungai kecil, sekali gus membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri aktiviti perikanan penduduk, terutama ketika musim ikan di kampung berkenaan.
Pengunjung dapat melihat perahu-perahu nelayan yang pulang dari laut selepas seharian mencari rezeki. Selain itu, mereka juga berpeluang melakukan aktiviti memancing ikan atau udang di pekarangan tebing sungai berkenaan.
Mana tidaknya, pekarangan pasar lama Maludam kini sentiasa sibuk setiap pagi hingga ke petang susulan kehadiran tidak putus-putus pengunjung dari luar.
Malah, ada pengunjung dari Samarahan sanggup menunggang motosikal ke Maludam pada hujung minggu semata-mata untuk menikmati sarapan dan merasai sendiri suasana kampung tersebut.
Kemeriahan kampung yang semakin terasa kini turut merancakkan aktiviti perniagaan usahawan kecil di kawasan itu.
Antara produk yang menjadi tumpuan adalah kuih-muih tradisional, makanan tradisional seperti pekasam, keropok ikan, pitis dan lemantak yang masih menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.
Keunikan produk makanan yang sukar ditemui di tempat lain itulah yang menjadikan Kampung Maludam dekat di hati para pengunjung.
Sesiapa sahaja yang singgah pasti tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai makanan dan produk tempatan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Selain sektor ekonomi, Maludam kini turut menjadi tumpuan peminat sukan untuk mengadakan lawatan dan perlawanan persahabatan.
Dalam erti kata lain, Maludam bukan sahaja menjadi tempat persinggahan untuk berehat dan membeli makanan laut, malah berpotensi sebagai salah satu destinasi kunjungan bagi mengeratkan silaturahim menerusi aktiviti sukan.
Baru-baru ini, kampung tersebut menerima kunjungan daripada ahli kelab badminton yang berpangkalan di Kota Samarahan, iaitu Kelab Union BC.
Kira-kira 30 peserta menyertai rombongan tersebut yang menyertai perlawanan persahabatan bersama-sama peminat badminton dari kawasan Maludam, Sebuyau, Beladin dan Pusa.
Rombongan itu tiba di Maludam dengan menaiki tujuh kenderaan pacuan empat roda sekitar jam 6.00 petang.
Setibanya di sana, mereka disantuni oleh rakan-rakan yang juga penduduk tempatan sebelum dibawa ke sebuah rumah untuk menikmati hidangan.
Di situ, mereka disajikan dengan salah satu masakan istimewa, iaitu kari ikan buntal dan pekasam udang (payak), selain rendang ayam memandangkan ketika itu masyarakat masih meraikan Hari Raya Aidiladha.
Salah seorang peserta, Muhammad Iqmal Fatoni, 26, berkata, pengalaman tersebut merupakan antara kenangan menarik sepanjang kunjungan pertamanya ke Maludam.
Selain itu, dia turut berpeluang merasai kari ikan buntal pekat buat pertama kali.
Pengalaman berharga itu membuatkannya jatuh hati terhadap hidangan yang baharu dinikmatinya.
Menurutnya, makanan yang suatu ketika dahulu dianggap berisiko untuk dimakan kerana mengandungi racun pada bahagian tertentu kini dapat dinikmati dengan selamat apabila disediakan oleh mereka yang mahir menyiang dan memproses ikan tersebut.
Bagaimanapun, penduduk tempatan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam penyediaannya mengetahui cara yang betul untuk mengendalikan ikan berkenaan sebelum dimasak dan dihidangkan.
Melihat peningkatan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, situasi itu sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat yang khuatir terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Ramai dalam kalangan mereka menyarankan agar penduduk setempat sentiasa berhati-hati serta memberikan peringatan kepada anak-anak supaya lebih peka ketika berada berhampiran jalan raya.
Terbaharu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Semarang yang terletak bersebelahan dengan Maludam telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang papan tanda peringatan di tepi jalan bagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.



