ARTIKEL

FOTO IG GAGAH PRANAJA SIRAT

Malam Itu, Kita Saling Bermimpi Sebagai Orang Lain

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAU berharap dengan ubat itu kau tidak akan tidur selama berbulan-bulan.

“Kalau pun Tuhan benar-benar memaksaku tidur,” pungkasmu.

“Setidaknya aku betul-betul memohon agar doa sebelum tidurku dikabulkan.”

Aku terkekeh-kekeh sementara memerhatikanmu terjatuh tiga butir pil berwarna merah padam diikuti satu potong buah pisang yang kau gunakan untuk mengubur rasa pahitnya di permukaan lidahmu.

“Jadikan aku lumba-lumba atau burung frigat sehingga aku akan tertidur dalam separuh sedar.”

Kau mengernyitkan dahi sejurus ubat itu meluncur ke dalam kerongkonganmu. “Amin.” Kendati pada akhirnya, kau hanya mendapat gerutuan dan sejumlah memar di sekitar wajahmu oleh telapak tanganmu sendiri.

“Aku tidak ingin bermimpi lagi.” Kau menoleh padaku. “Aku takut menjadi orang lain.” Malam itu aku tengah mengemas beberapa barang dan satu jeritan panjang terdengar melalui balik dinding kamarmu.

“Ubat sialan!” Kau berteriak. Mencakar-cakar dinding. Menariknya. Mengelupasi tiaptiap catnya yang sudah rontok, menendang-nendangnya seperti kerasukan setan.

“Sialan! Sialan! Sialan!” Walaupun begitu, ubat tersebut tidak pernah kulihat hilang dari laci nombor dua di bahagian kanan lemarimu, atau berada di tempat sampah bersama sisa-sisa makanan malam tadi.

“Aku tidak berani membuangnya,” kau beralasan.

“Cuba kira, Ed, berapa kali aku perlu pergi ke luar bandar atau membelanjakan berlembarlembar wang hanya untuk kos rawatan ini?”

Aku pura-pura menghitung.

Entah angka berapa yang tiba-tiba kusebutkan tanpa suara di dalam mulut pada masa itu. Mungkin satu tambah satu.

“Tiga,” kataku selanjutnya. “Bodoh.” Kau mengambil gelas lalu mengisinya melalui mesin penadah air automatik. “Minggu ini saja aku sudah empat kali,” sahutmu sembari meneguk air isi ulang itu.

“Hanya minggu ini.” “Ya,” aku manggut-manggut, lalu tersenyum masam ketika kau mengeluarkan kembali pil merah itu. Aku menenggaknya sambil menelan segelas air dan sepotong pisang.

Petang itu, sebelum tidur, kau sudah minum sebanyak dua kali. “Sejujurnya,” aku meneguk ludah.

“Apa-apa pun yang kau lakukan selama ini sangat tidak pantas jika dikatakan sebagai kos perubatan.” Kupalingkan pandangan, mengabaikan tatapan helangmu yang tiba-tiba terbit.

“Ini bukan rawatan.” Jantungku berdebar. “Ini sama sekali pantas disebut pembunuhan.” Kau mengernyitkan dahi. “Aku tidak membeli sianida.”

Gelas itu kau pinggirkan dari tepi meja makan dan di bawah lampu remang-remang, kulihat susukmu dari sudut mata kiriku ketika berpaling: mendadak seperti siluet wajah seram puntianak.

“Ini pengubatan,” kau mengucapkan dua ayat itu dengan nada tegas dan rentak perlahan. “I-ni,” kau mengulanginya dan kali ini lebih perlahan. “Pe-ngu-ba-tan.” Aku berusaha menahan jari-jemariku yang gementar.

“Pengubatan?” Lidahku berjerih menstabilkan melodi satu kata itu tanpa ikut bergementar seperti organ tubuh lainnya.

“Pengubatan?” Kukeraskan suaraku. “Kau tahu definisi perkataan pengubatan? Semak KBBI dan lihat.

Adakah kau sedang menghidap penyakit?” Aku menoleh dan menyedari kepercayaan dalam lubuk hatiku tiba-tiba bangkit seperti dipanggil cahaya ilahi. “A-pa-kah,” kuikuti gaya bicaranya tadi.

“Ka-u mempu-nya-i pe-nya-kit, Se-vi-la?” Rupa-rupanya, kau tidak gentar dengan kepercayaan dalam lubuk hatiku yang bangkit itu. Tatapan matamu masih seperti helang melihat buntut tikus.

“A-ku,” rasa-rasanya kami seperti kanak-kanak sedang belajar mengeja. “Pu-nya pe-nyakit, Ed.” Tiba-tiba, aku merasa tatapanmu menjadi begitu dalam. “A-ku,” satu lelehan air mendarat di pipimu. “Ti-dak ma-u menja-di o-rang la-in.”

Padahal, Sevila, semua orang di dunia ini selalu berlumbalumba untuk menjadi orang lain. *** Kita minum kopi, menikmati matahari, lalu mengerjakan aktiviti masing-masing.

Namun, pada hari ke-21 bulan September, sesuatu mewujudkan suasana berbeza di dalam rumah kita.

“Aku merasa tidak sihat.” Dan itu adalah kamu. “Aku ingin berehat.” Kau bangun, tapi tidak langsung beranjak ke dapur.

Secawan kopi dingin diselimuti angin pagi. “Aku habis makan satu pinggan.” “Kau belum memakan apa-apa, Sevila.” Aku memegang pundak kirimu.

Bisa kurasakan melalui naluri kasih sayangku: keadaan seperti ini amat berkemungkinan berlaku apabila dalam sekelip mata kau tiba-tiba jatuh pengsan.

“Bahkan,” kubelai rambutmu yang setipis tisu. “Kau belum makan apa-apa sejak tadi malam.” Kau memegang perutmu yang sekenyal salah satu permen warna-warni kesukaanku.

Kau mengelus-elus bahagian itu seperti tengah mengelus kepala seekor kucing. “Tapi,” kau mendengus. “Perutku kenyang sekali.”

Lalu kau buka matamu yang sedari tadi terpejam; kulihat bola matamu begitu merah. Ada apa? “Aku ingat aku makan sepotong piza, sebatang coklat, semangkuk ramen, segelas susu…” Dan, tanpa perlu berbasa-basi, aku segera membawamu ke unit gawat darurat saat itu.

Betapa gilanya, doktor berkata ada kemungkinan kau benar-benar makan semua itu malam tadi. “Perutnya begah,” kata salah seorang jururawat. “Oleh itu, tekanan darahnya naik kerana ia memakan sesuatu yang berlemak.”

Jururawat itu mengambil stetoskop doktor yang tertinggal. “Ada tanda-tanda saluran pencernaannya sedang bekerja.”

Aku benar-benar berani melakukan semua jenis sumpah di dunia ini, termasuk dengan sumpah atas kitab atau berpakaian seperti mayat: bahawa kau tidak makan apaapa, bahkan sebutir strawberi malam tadi.

“Aku,” selang tiga hari setelah kejadian abnormal itu, kau mengeluh tanganmu terasa nyeri.

“Gudang,” gejala kekacauanmu tampaknya belum berhenti. “Aku… Gudang… Semalam aku habis membersihkan gudang.”

Aku ingin sekali berpakaian mayat di hadapan ratusan orang, menutup mata dan mengucapkan sumpah. “Dengan ini,” aku pasti mengucapkannya dengan lantang, “Aku bersumpah.” Aku harap orang tahu sumpahku ini bukan main-main: “Bahawa rumah kami sama sekali tidak mempunyai bilik bernama gudang.”

Di pagi hari yang cerah itu, kau baru mengaku, “Aku bermimpi sebagai orang lain, Ed.” Aku rasa penglihatanku serta-merta kabur; aku mahu pengsan.

“Dan itu sangat tidak pantas jika disebut sebagai mimpi.” Ya, aku betul-betul pengsan dan masih kudengar suaranya dengan samar-samar, “Sebab,” kau menahan tubuhku yang terjatuh, “Segala yang kurasakan terasa begitu nyata.” *** Aku tahu kau seorang bekas pelajar pemenang Olimpiade Nasional Fisika, dan aku hanya boleh memperoleh gred C dalam pengiraan matematik mudah.

“Ini bersinggungan dengan realiti kita,” kau terus menyemburkan ludah dengan mata tak lepas dari lembaran-lembaran buku yang kau pegang.

“Tapi,” kau baru menatapku. “Ada peluang jika fenomena ini ternyata boleh berada dalam realiti kita.” Kau berbicara tentang astronomi, koordinat sifat fizikal, parameter bebas, teori Newton, gejala alam, pengiraan antara besaran-besaran dinamik, medan magnet, tapi yang mampu kutangkap hanyalah satu kata: “Dimensi?” Kedua alisku tahu-tahu bertaut.

“Jadi, secara tidak langsung kau mengatakan, malam-malam itu kau sedang bertukar dimensi? Seperti portal ke dunia lain?” Aku hafal kosa kata itu dari salah satu gim yang sering aku mainkan dahulu ketika ponteng sekolah.

“Hampir tepat,” balasmu sambil menutup buku itu. “Tapi dimensi ini bukanlah menuju dunia lain.” Kau melangkah selangkah demi selangkah. “Melainkan,” kau menambahkan, “Dimensi ini berada di dalam dunia kita.” Oh, aku harap dimensi itu tidak akan menuju rumah ibu bapa keduamu. *** Pil penahan tidur itu semakin kurang ajar terhadap dirimu.

Lihatlah, dibandingkan dengan kanak-kanak berumur dua belas tahun, kau lebih mirip orang tua yang sudah mempunyai penyakit tulang. “Kau harus berhenti,” aku berkata sungguh serius.

“Oleh itu, mari kita cari akar masalah ini.” “Kau kira selama ini aku tidak mencari akar masalahnya?” Selain melempar tatapan serupa helang, kali ini kau melakukan yang beratus kali ganda lebih buruk: kau malahan tidak menatapku ketika aku berbicara. “Aku sudah sangat lelah menjadi seperti ini.

Gudang. Makanan. Setiap malam. Ya, setiap malam! Aku harus berada di tubuh orang lain.” Kau menangis. Lagi.

“Sepatutnya sejak dahulu, ketika perkara ini pertama kali terjadi, aku terus bunuh diri” “Aku sepertimu,” sergahku, dengan beribu-ribu bunga api berlabel ‘panik’ dan ‘cemas’ seketika hampir meledak di langit-langit kepalaku.

“Aku juga menjadi orang lain. Aku juga menderita penyakit itu.

Setiap malam, aku selalu bermimpi bahawa rohku tidak berada di jasad ini. Aku ialah orang lain. Ya, malam itu, dan malammalam seterusnya, aku sama sepertimu.

Kita saling bermimpi sebagai orang lain.” Kau hanya menatapku dengan mulut terbuka lebar seperti gawang bola sepak. “Berbezanya,” aku melanjutkan dengan perkataanku tergagapgagap, “Aku bukan berada pada tubuh yang selalu makan atau membersihkan gudang tiap malam.

Aku… berada di tubuh orang lain. Tubuh yang bukan diriku sama sekali. Tubuh yang dingin tak ubahnya permukaan bulan.

Tubuh yang berada di tengah-tengah pusaran badai dan berusaha tegar.

Tubuh yang bahkan tangan dan kakinya tidak dapat kukendalikan kerana terdapat rasa takut yang telah menjelma sebagai pembuluh darah di sana.”

Selain tidak menatapku ketika mulutku berbicara, kali ini kau melakukan yang beratus kali ganda lebih buruk: kau malahan hampir melempar segelas air ke arah lengan kiriku.

Itu mengingatkanku pada orang lain: rupa ibu bapa keduamu ketika mengetahui hubungan kita. Pantulan wujud mereka tampak begitu jelas di dalam binar matamu itu.

Amarah yang membara. Kekecewaan yang menggelora. “Mengapa tidak kau katakan hal itu selama ini?” Aku menunduk.

“Mengapa tidak kau katakan? Mengapa?” Aku menunduk dan memang terus menunduk.

Satu patah kata pun tidak berani kukeluarkan kerana aku begitu malu.

“Kita ini keluarga. Kita duduk di meja yang sama.

Tapi kadang aku merasa kau sedang hidup di rumah orang lain, di mimpi yang bukan milik kita.” Kau melempar gelas kedua. “Maaf.”

Namun aku berjaya mengelak. “Aku,” seperti rumah kita setiap kali hujan lebat, matamu seakan banjir oleh air yang begitu meluap. “A-ku… sa-ngat ke-ce-wa pa-da-mu.” Pecahan kaca. Tumbukan kerusi. Langkahan kaki.

Tersedusedu tangis. Selain melakukan itu semua, kau tinggalkan pula satu buku fizik kegemaranmu di atas meja, persis di hadapan pucuk hidungku.

Aku harap kau ingin tidur malam ini. Aku harap doa tidurmu tidak didengar Tuhan. Setidaknya, dengan bermimpi dan menjadi orang lain, kau dapat mengelak daripada susukku supaya amarahmu mereda meski hanya dalam satu malam.

Meski hanya dalam satu malam. *** Dimensi. Antara waktu. Parabola. Realiti. Kuantum. Aku dengar suaramu ketika menjelaskan teori itu, tetapi suara yang kudengar adalah memori dari lidahmu di sebalik dindingdinding yang rontok.

Kau pergi malam ini, dan mungkin akan menjadi orang lain.

Ini tidak serumit pelbagai formula yang berada di otakmu, Sevila. Ini tidak serumit perhitungan akar atau rasi bintang yang menjalarjalar.

Tentang bagaimana aku selalu membeli makanan diam-diam di malam hari dan menghabiskannya dengan menyelinap ke gudang rumah jiran sebelah, tentang bagaimana kau selalu cemas dengan reaksi ibu bapa keduamu perihal perkawinan terlarang kita.

Ini hanya perkara memahami bahawa di setiap sisi diri kita terdapat sisi yang berasal dari diri orang lain. Dan, kau membuat semua itu rumit dengan teori yang menekankan kata utama ‘dimensi’.

BERITA LAIN

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU