MALAYSIA mara ke separuh akhir selepas skuad badminton wanita negara menewaskan Vietnam 3-1, diserikan aksi dominasi penuh 21-12, 21-8 oleh pasangan utama, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan.
Walaupun tewas pada aksi pembukaan menerusi Karupathevan Letshanaa, Malaysia bangkit melalui kemenangan penting disumbangkan Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha untuk mengesahkan kejayaan tersebut.
Saingan bermula sengit apabila Letshanaa berjuang habis-habisan sebelum tewas tipis 21-15, 10-21, 21-23 kepada pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh.
Dalam perlawanan kedua, Wong Ling Ching menghadiahkan mata berharga selepas menewaskan Vu Thi Trang dalam pertarungan tiga set, 21-14, 20-22, 21-14.
Wong turut bermain sambil menahan ketidakselesaan fizikal namun tetap menunjukkan ketahanan mental tinggi bagi menghidupkan peluang Malaysia.

Sorotan utama hadir dalam perlawanan ketiga apabila pasangan nombor dua dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan, mendominasi gandingan Vietnam, Pham Thi Dieu Ly dan Pham Thi Khanh dengan kemenangan meyakinkan 21-12, 21-8.
Selepas perlawanan, kedua-duanya menekankan kepentingan mengekalkan fokus meskipun berdepan tekanan sebagai pilihan utama.
“Memandangkan ini perlawanan pertama kami dalam kejohanan, kami hanya mahu fokus pada permainan sendiri dan berikan yang terbaik.
“Pihak lawan ada beri tekanan pada beberapa bahagian, tetapi kami akan ambil perhatian dan kekal fokus untuk perlawanan seterusnya,” kata Thinaah.
Pearly pula menegaskan nilai bermain tanpa sebarang penyesalan.
“Selagi kami tidak tinggalkan sebarang penyesalan di gelanggang, itu sudah cukup baik untuk kami,” katanya.
Thinaah turut menambah bahawa mereka akan terus memberikan sokongan kepada rakan sepasukan dan berjuang sehabis baik untuk pasukan.
Menutup saingan, Siti Zulaikha memastikan kemenangan 3-1 selepas menewaskan Bui Bich Phuong 21-19, 21-19 dalam dua set.
Kemenangan itu menjadi permulaan positif bagi skuad badminton wanita negara yang mengidamkan kemunculan semula di podium selepas hampir sedekad.
Skuad wanita negara kini bersedia menghadapi cabaran getir Indonesia di separuh akhir pada Isnin (8 Disember).





