Kerajaan terus giat membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah di pasaran menerusi kerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia berdasarkan kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC), kata Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Timbalan menterinya, Datuk Siti Aminah Aching berkata kerajaan sentiasa memahami dan mengambil maklum kegusaran rakyat berhubung isu ketidaktentuan dan harga getah yang rendah di pasaran.
Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Malaysia bekerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka ITRC untuk menstabilkan harga melalui pengurusan bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara pengeluar.



