KUCHING: Satu pas khas akan diperkenalkan bagi membolehkan perjalanan tanpa halangan antara Malaysia dan Brunei.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkara itu merupakan antara isu utama yang dibincangkan serta dipersetujui dalam Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia–Brunei ke-26 (ALC) yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.
Abang Johari berkata, aspek mobiliti antara kedua-dua negara sedang diperkemaskan dengan kedua-dua kerajaan bekerjasama ke arah pengenalan pas khas bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan dilaksanakan secara lebih lancar.
“Kita telah berbincang antara Malaysia dan Brunei. Perkara pertama ialah mobiliti, iaitu pergerakan merentasi sempadan, dan kaedahnya akan diumumkan kemudian.
“Terdapat juga persetujuan untuk satu pas khas diwujudkan kerana kedua-dua kerajaan sedang berunding untuk membolehkan perjalanan tanpa halangan menggunakan sistem tunggal. Pas ini turut meliputi Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Akademik Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, kaedah pelaksanaan pas khas berkenaan akan diumumkan pada masa yang sesuai selepas perbincangan lanjut antara kedua-dua kerajaan dimuktamadkan.



