BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam menyasarkan parameter asas penyelesaian isu persempadanan kedua-dua negara yang melibatkan Sarawak dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman awal yang baik telah dicapai bagi menyelesaikan pertindihan serta tuntutan yang masih belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei Darussalam di sini, hari ini.

Menurut Anwar, isu persempadanan berkenaan turut melibatkan kawasan dan kepentingan Sarawak, justeru pelibatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg penting bagi memastikan kepentingan Sarawak dan Malaysia dipertahankan sepenuhnya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama rentas sempadan khususnya urusan imigresen dan kastam perlu dipertingkatkan bagi memudahkan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha berkenaan turut selari dengan hasrat memperkukuh hubungan pelancongan serta memudahkan pergerakan antara Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.



