KUCHING: Ramai pelancong dari Xinjiang, China hanya mengaitkan Malaysia dengan kawasan sekitar Kuala Lumpur, manakala kesedaran terhadap Borneo dan kawasan pedalaman lain masih terhad.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu pertemuan bersama Agensi Pelancongan Belia Xinjiang yang bernaung di bawah Xinjiang Production & Construction Corps (XPCC), hari ini.
“Pihak agensi (Agensi Pelancongan Belia Xinjiang) memaklumkan bahawa kebanyakan penduduk Xinjiang ketika ini hanya mengaitkan Malaysia dengan kawasan sekitar Kuala Lumpur, manakala kesedaran tentang Borneo Malaysia dan wilayah pedalaman masih terhad.
Justeru, saya juga mempromosikan destinasi Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta pengalaman budaya yang unik,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Jelas Tiong, beliau turut mengetengahkan kelebihan Malaysia seperti kepelbagaian makanan, tapak warisan dunia UNESCO serta suasana mesra Muslim, dan menjemput agensi berkenaan untuk menyertai lawatan pengenalan ke Malaysia.
Menjelaskan tentang pertemuan berkenaan, Tiong berkata ia memberikan gambaran jelas tentang tahap profesionalisme dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh agensi berkenaan selaku antara peneraju utama industri pelancongan di Xinjiang.
“Saya juga melihat potensi besar untuk kerjasama pada masa hadapan.
Dengan kepercayaan berterusan dan pendekatan yang pragmatik, saya yakin Malaysia dan Xinjiang mampu menerajui era baharu dalam pelancongan dua hala yang lebih rancak dan bermakna,” ujarnya.
Agensi tersebut kini mengendalikan lebih 60 cawangan di seluruh Xinjiang dan mempunyai rekod kukuh dalam penganjuran pameran perniagaan antarabangsa, termasuk kepakaran dalam pengurusan penerbangan sewa khas, pengaturan visa dan transit ke Asia Tengah.






