Pecah rekod, tamat kebuntuan dan sejarah baharu menjadi penutup kempen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 apabila kontinjen negara melakar enam rekod kejohanan serta 12 rekod kebangsaan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin berkata pencapaian luar biasa itu dicetuskan menerusi beberapa acara utama yang menyaksikan atlet negara memecahkan had prestasi masing-masing.
Rekod kejohanan olahraga turut disumbangkan oleh Jonah Chang Rigan dalam acara lontar peluru lelaki, selain pencapaian Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera lelaki.
“Muhammad Irfan terus mengukuhkan status legenda apabila meraih emas ketujuh pada temasya sukan Asia Tenggara ini,” katanya pada sidang media rangkuman prestasi kontinjen negara di sebuah hotel di sini, Sabtu.
Beliau juga turut memaklumkan Grace Wong Xiu Mei mencuri tumpuan selepas memperbaharui tiga rekod serentak, iaitu rekod temasya, rekod kebangsaan dan rekod peribadi dalam acara tukul besi wanita.
“Rekod kebangsaan olahraga lain turut melibatkan pasukan lelaki 4×100 meter, Danish Iftikhar (200 meter lelaki), Ng Jing Xuan (lontar lembing) serta Nani Shahirah (lontar peluru wanita),” jelasnya.
Dalam acara akuatik renang, rekod kebangsaan dicatatkan oleh Tong Yu Jing (50 meter gaya bebas lelaki), pasukan lelaki 4×200 meter gaya bebas, pasukan lelaki 4×100 meter rampaian, pasukan wanita 4×100 meter gaya bebas serta Chong Xin Lin (100 meter kuak lentang wanita), hasil persiapan jangka panjang.
“Berbasikal turut menyumbang kepada lonjakan statistik rekod negara apabila beberapa acara berpasukan lelaki dan wanita mencatatkan rekod kebangsaan baharu hasil peningkatan dari segi strategi perlumbaan.
“Acara menembak pula menambah rekod kejohanan menerusi Gan Chen Jie (50 meter tiga posisi wanita), pasukan wanita 50 meter tiga posisi serta Haritz Iklil Hessly Hafiz (50 meter tiga posisi lelaki),” katanya.
Dalam perbandingan dominasi pingat emas Asia Tenggara, Thailand muncul paling menonjol dengan mengumpul emas dalam olahraga (13), tinju (14), jujitsu (14), kanu (12) dan muay thai (11).
“Indonesia pula menampilkan konsistensi melalui olahraga (9), kanu (8) serta memanah dan menembak masing-masing enam emas, manakala Vietnam kekal kukuh dalam olahraga (12), gusti (10) dan kanu (8).
“Malaysia bagaimanapun menampilkan prestasi seimbang dengan sumbangan emas daripada olahraga (5), berbasikal (4), gimnastik (4), skuasy (4) dan menembak (4), manakala Singapura jelas unggul dalam akuatik dengan pungutan 22 emas,” katanya.
Selain itu, beliau turut menambah detik paling bermakna buat kontinjen negara ialah kejayaan sepak takraw acara regu lelaki berpasukan yang menewaskan tuan rumah Thailand, sekali gus menamatkan kebuntuan selama 34 tahun.
Tambahnya, sukan judo turut mencipta sejarah apabila pingat emas yang dimenangi menjadi yang pertama sejak 1981, menamatkan penantian selama 44 tahun dan memberi dimensi baharu kepada perkembangan judo negara di peringkat serantau.






