KUALA LUMPUR: Malaysia menyapu bersih tiga kedudukan teratas ASEAN GeoAI Fusion 2026: Bootcamp and Hackathon for Geospatial Innovation apabila Grabber muncul juara, diikuti Starlink dan Snack Overflow masing-masing di tempat kedua serta ketiga.
Grabber turut dinobatkan sebagai penerima ASEAN Best GeoAI Innovation, manakala Starlink menerima ASEAN Best Spatial Intelligence, sekali gus mengukuhkan pencapaian pasukan Malaysia dalam pertandingan inovasi GeoAI peringkat ASEAN.

Team Geovisionaries dari Myanmar dan Kandila dari Brunei pula masing-masing menerima hadiah sagu hati.
Dalam kategori pengiktirafan khas ASEAN, AI Slop Final Boss dari Malaysia menerima ASEAN Best Sustainable Development Impact, manakala AGOS dari Filipina menerima ASEAN Best Digital Inclusion.

Laopadit dari Lao PDR pula dinobatkan sebagai ASEAN Most Promising Solution, sementara Lorem Ipsum dari Thailand menerima Judge’s Special Recognition.
Program pembangunan kapasiti serantau yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dilaksanakan di bawah kitaran kerja ASEAN Digital Senior Officials’ Meeting – ASEAN Telecommunications Regulators’ Council (ADGSOM-ATRC) 2026.
Program bertemakan ‘Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN’ itu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran GeoAI menerusi latihan berstruktur, pembangunan prototaip dan kerjasama merentas sempadan.
Sebanyak 1,112 peserta dari 11 negara anggota ASEAN menyertai program berkenaan, melepasi sasaran asal 300 peserta sebanyak 370 peratus.
Daripada 138 pasukan yang mendaftar untuk laluan hackathon, hanya 17 pasukan dari lapan negara anggota ASEAN dipilih sebagai finalis untuk menyertai Hackathon Fizikal di Kuala Lumpur.
Setiap pasukan finalis membangunkan prototaip GeoAI bagi menangani cabaran sebenar dalam lima tema utama, iaitu kecekapan, inovasi, ketersambungan, kelestarian dan keselamatan, termasuk perancangan liputan rangkaian, ketahanan bencana, keselamatan siber serta kelestarian infrastruktur.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kejayaan program ini membuktikan ASEAN mempunyai bakat, kreativiti dan keupayaan teknologi untuk membentuk masa depan digitalnya sendiri.
“Kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti inovator bukan sahaja membangunkan teknologi baharu, malah memperkukuh asas kerjasama serantau yang boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.
“Kementerian Komunikasi bersama-sama MCMC akan terus memperkasa pembangunan bakat teknologi strategik, memperluas penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab serta mengukuhkan kerjasama digital serantau,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah tersebut, semalam.
Jelasnya, sebanyak 72 peratus daripada keseluruhan peserta terdiri daripada pelajar, selain penyertaan badan pengawal selia, industri, agensi kerajaan dan penyelidik.
“Hasil program berkenaan akan didokumentasikan menerusi ASEAN GeoAI Knowledge Hub bagi tempoh setahun selepas program bagi memastikan ilmu dan penyelesaian yang dihasilkan terus memberi manfaat kepada rantau ASEAN,” tambahnya.



