ARTIKEL

Malaysia hab semikonduktor global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia sebagai hab semikonduktor strategik menjadi semakin penting apabila ketegangan geopolitik terus mengubah rantaian bekalan global, kata Naib Presiden Korporat Operasi Pemasangan dan Pengujian NAND Micron Technology (Micron), Amarjit Sandhu. Beliau berkata ekosistem elektronik Malaysia yang mantap, pendirian berkecuali serta keupayaan teknologi yang kian berkembang meletakkan negara ini sebagai destinasi menarik bagi syarikat semikonduktor yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan masing-masing.

“Memandangkan tekanan geopolitik terus mengubah rantaian bekalan secara global, kami melihat nilai Malaysia sebagai hab semikonduktor menjadi semakin strategik,” katanya.

Sandhu berkata ekosistem elektronik Malaysia yang dibina sejak lima dekad lepas membuktikan daya tahan dalam mendepani pelbagai gangguan global selain terus melonjak dalam rantaian nilai semikonduktor.

Beliau berkata pendirian berkecuali Malaysia dan asas semikonduktor yang kukuh menjadikan negara ini destinasi yang ketara bagi syarikat-syarikat yang ingin mempelbagaikan jejak pengeluaran mereka di seluruh Asia.

Menurut beliau, peranan Malaysia kini berkembang melangkaui warisan tradisionalnya dalam bidang pemasangan dan pengujian dengan teknologi memori serta storan termaju yang penting untuk kecerdasan buatan (AI), kini semakin banyak dibangunkan dan dihasilkan dalam negara.

“Fakta bahawa teknologi memori dan storan yang penting kepada AI kini sedang diiktiraf dan dihasilkan di sini, selain ekosistem yang mampu membuktikan kredibiliti kelestarian yang kukuh, mencerminkan sebuah negara yang semakin mampu memenuhi apa yang dicari oleh pelanggan global daripada rakan kerjasama rantaian bekalan.

“Gabungan keupayaan dan kredibiliti itulah yang saya fikir menjadikan kedudukan Malaysia dalam rangkaian semikonduktor global lebih kukuh dan mampan berbanding sedekad lepas,” katanya.

Mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia, Sandhu berkata, hala tuju jangka panjang Micron seiring dengan cita-cita kerajaan untuk membawa negara ke arah aktiviti semikonduktor yang bernilai lebih tinggi.

“Hala tuju jangka panjang Micron seiring dengan NSS Malaysia terutamanya dalam usaha untuk beralih ke arah keupayaan semikonduktor yang bernilai lebih tinggi.

“Hasrat NSS untuk melonjakkan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor ke arah pembuatan bernilai lebih tinggi dan reka bentuk litar bersepadu (IC), selari dengan hala tuju Micron sendiri dan keselarasan itu membentuk asas yang kukuh bagi kerjasama jangka panjang,” katanya.

Sandhu berkata, kerjasama Micron dengan agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) mencerminkan usaha bersama dalam membangunkan operasi syarikat itu di Malaysia, sekaligus memperkasa hab semikonduktor di negara ini.- Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU