KUCHING: Malaysia menyasarkan untuk muncul juara dengan prestasi terbaik dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 selaku penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa edisi ke-34 kelak.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk segera memulakan persiapan bagi memastikan penganjuran tersebut dilaksanakan sebaik mungkin dengan Sarawak menjadi tuan rumah bersama.

“Persiapan itu melibatkan seluruh jentera kerajaan dan juga persatuan-persatuan, lebih-lebih barisan atlet kita yang harus mula berlatih bersungguh-sungguh dari sekarang.
“Ini kerana kita mahu menjadi kalau tidak pun juara, sekurang-kurangnya mempamerkan prestasi terbaik yang pernah dicapai dalam sukan itu kelak. Bolehkah? Agik idup, agik ngelaban,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan latihan dan persediaan itu merangkumi persiapan menghadapi SUKMA 2026 dan Sukan SEA 2027.
Di samping itu, beliau memuji penganjuran temasya dwitahunan kali ini terbukti berjaya mengeratkan perpaduan melalui kesukanan.
Untuk rekod, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah edisi ke-34 temasya Sukan Sea 2027 menerusi mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) di Hanoi Mei 2022, susulan pengunduran negara Brunei.



