ARTIKEL

Gambar hiasan

Malaysia perlu kuasai AI untuk kekal berdaya saing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Di sebuah tapak pembinaan di pinggir ibu kota, sekumpulan pekerja — majoritinya warga asing — giat melaksanakan tugas harian, dikawal selia jurutera, kontraktor dan pemaju yang menjadi nadi kelancaran projek.

“Bayangkan jika ada robot pintar dilengkapi kamera kecerdasan buatan (AI) yang memantau seluruh kawasan, mengesan pekerja yang tidak memakai topi keselamatan dan memberi amaran awal sebelum kemalangan berlaku,” kata kontraktor Mohd Naim Zainol, 38, ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau yakin penggunaan AI mampu memendekkan masa semakan pelan, mempercepat laporan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan di tapak.

“Saya harap teknologi AI diperluas dalam industri pembinaan tempatan, termasuk untuk syarikat kecil dan sederhana,” katanya.

Penggunaan AI dalam pembinaan kini berkembang pesat di peringkat global.
Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), pasaran AI dalam sektor ini bernilai lebih US$2.5 bilion pada 2022 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 20 peratus antara 2023 hingga 2032.

Syarikat besar seperti Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad sudah mengaplikasikan teknologi ini bagi meningkatkan kecekapan, pemantauan keselamatan, pengurusan projek serta penjimatan kos, seiring cabaran harga bahan binaan tidak menentu dan kekurangan tenaga mahir.

AI juga digunakan untuk meramal cuaca ekstrem, membantu pihak terlibat menangguhkan kerja berisiko tinggi, sekali gus mengelak kerugian berjuta ringgit.

Menurut laporan State of Digital Adoption in the Construction Industry 2024 oleh Autodesk dan Deloitte, Malaysia berada di tempat kedua dalam penerimaan teknologi digital di Asia Pasifik, mengatasi purata rantau sebanyak 50 peratus.

“Sekitar 30 hingga 40 peratus syarikat berskala besar dan sederhana di Malaysia sudah mula mengintegrasikan AI, terutamanya untuk analitik data, pemantauan keselamatan dan pengoptimuman jadual projek,” kata Prof Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata teknologi mempercepat pertumbuhan ekonomi, sejajar Teori Pertumbuhan Solow.

“Gabungan AI, modal dan tenaga manusia boleh meningkatkan produktiviti serta kualiti bahan binaan. Namun, sektor ini masih intensif buruh dari huluan ke hiliran. Jurang dengan Jepun dan Korea dalam penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) perlu dirapatkan melalui pelaburan teknologi dan pembangunan bakat,” katanya.

Beliau menegaskan latihan semula pekerja penting bagi memanfaatkan peluang baharu, termasuk kebolehan AI meramal harga bahan binaan.

“Dengan data menyeluruh dan model ekonomi tepat, kerajaan dapat merancang kawalan harga dan belanjawan projek lebih berkesan,” katanya.

Penggunaan AI dijangka mengubah landskap pekerjaan dalam pembinaan.

“Kerja rutin mungkin berkurangan, tetapi peluang baharu akan wujud untuk tenaga kerja mahir teknologi digital dan inovasi hijau. Peranan kerajaan, CIDB dan institusi TVET amat penting untuk memastikan bakat tempatan bersedia,” kata Muhammad Ridhuan.

Beliau menambah penggunaan AI secara meluas mampu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK, menstabilkan kos perumahan dan menarik pelaburan asing, selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Aziz Abdul Hamid, pengasas bersama HRB Solutions Sdn Bhd, berkata AI mengubah pendekatan keselamatan daripada reaktif kepada proaktif.

“Sistem AI boleh memantau secara automatik 24 jam, memberi amaran awal dan mencegah kemalangan. Ia membantu membina budaya pematuhan keselamatan di tapak,” katanya, menyokong usaha Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mempromosikan budaya pencegahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menegaskan penguasaan teknologi AI penting untuk memperkukuh daya saing Malaysia dalam transformasi digital global.– BERNAMA

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan