ARTIKEL

Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

Malaysia perlu perkukuh kerangka cukai digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Malaysia perlu memperkukuh kerangka cukai digital dengan mempergiat kerjasama rentas sempadan, pelaporan automatik platform serta penggunaan analitik data bersepadu, tegas Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Perakaunan, Kolej Universiti i-CATS itu berkata langkah tersebut penting kerana tanpa pembaharuan berkenaan, generasi muda yang aktif dalam ekonomi digital akan terus berada dalam zon kelabu percukaian.

Katanya, ekonomi digital berkembang pesat, namun sistem percukaian bergerak lebih perlahan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Pendapatan daripada e-dagang, penstriman, kandungan digital serta perkhidmatan dalam talian sering tidak dilaporkan secara menyeluruh.

“Keadaan ini bukan semata-mata isu pengelakan cukai, sebaliknya berpunca daripada kelemahan integrasi data antara platform digital dengan pihak berkuasa cukai,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata negara ketika ini masih berhadapan dengan isu struktur, iaitu asas cukai yang sempit, dengan peratusan pembayar cukai individu aktif yang kecil berbanding jumlah tenaga kerja keseluruhan.

Menurutnya, dalam jangka panjang kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada kumpulan pembayar cukai yang sama atau hasil berkaitan petroleum semata-mata.

“Justeru, peluasan asas cukai perlu dilaksanakan secara berperingkat melalui formalisasi ekonomi gig, pengesanan pendapatan digital serta pengurangan ekonomi bayangan (shadow economy).

“Namun, peluasan ini mesti disertai elemen keadilan. Rakyat hanya akan menerima perluasan asas cukai jika mereka melihat ketelusan dan disiplin fiskal yang konsisten,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan golongan muda hari ini lebih kritikal dan peka terhadap isu tadbir urus. Namun, pematuhan cukai secara sukarela hanya akan meningkat sekiranya mereka melihat integriti dalam perbelanjaan awam.
“Laporan berkala tentang penggunaan hasil cukai, pengurangan ketirisan serta keberkesanan program bantuan mampu meningkatkan kepercayaan awam. Tanpa elemen itu, penguatkuasaan semata-mata hanya akan mewujudkan budaya takut, bukan budaya tanggungjawab,” jelasnya.

Beliau berkata negara juga memerlukan reformasi fiskal menyeluruh yang merangkumi peluasan asas cukai, pengukuhan cukai digital, subsidi bersasar serta disiplin perbelanjaan awam.

“Pendekatan separa atau reaktif hanya akan menangguhkan penyelesaian terhadap masalah struktur yang sedia ada.

“Dalam era ekonomi yang tidak menentu dan berdepan ketidaktentuan global, ketahanan fiskal bukan lagi pilihan, sebaliknya prasyarat kepada kestabilan ekonomi dan daya saing negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa reformasi cukai tidak boleh dipisahkan daripada rasionalisasi subsidi. Jika kerajaan memperluas asas cukai tetapi pada masa sama subsidi bersifat menyeluruh masih tinggi dan tidak bersasar, tekanan fiskal akan terus berlarutan.

“Rasionalisasi subsidi bahan api dan barangan asas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ‘kontrak sosial fiskal’ baharu. Hasil cukai digunakan secara lebih telus, subsidi disasarkan kepada golongan rentan, manakala penjimatan fiskal dilaburkan dalam pendidikan, kesihatan serta infrastruktur produktif,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU