SEPANG: Malaysia sedang berusaha ke arah memperluas ketersambungan penerbangan ke Eropah dan Amerika, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata kerajaan sedang menarik lebih banyak syarikat dari Eropah untuk menyediakan penerbangan terus ke Malaysia serta menggalakkan syarikat tempatan mewujudkan laluan.
“Ketersambungan sudah semestinya penting untuk negara bagi perdagangan, perniagaan dan terutamanya untuk pelancongan.
“Jika kita tiada penerbangan terus, ia akan jadi tidak menarik untuk pelancong datang ke negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyambut penerbangan pertama British Airways selepas menyambung semula penerbangan harian antara Kuala Lumpur dengan London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Penerbangan itu menandakan kepulangan British Airways ke Malaysia selepas lima tahun menghentikan laluan itu ketika pandemik COVID-19.
Loke dalam ucapan sebelum itu berkata kembalinya syarikat penerbangan berpangkalan di United Kingdom (UK) itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. – Bernama



