SENI mempertahankan diri dapat membantu anak anda membina kecergasan, disiplin dan kemahiran sosial.
Umur yang paling sesuai untuk memulakan latihan ini adalah sekitar tujuh tahun.
Pada usia ini, mereka sudah mempunyai kekuatan otot dan kemahiran motor yang mencukupi untuk menguasai teknik tertentu.
Masih ragu-ragu tentang manfaat seni mempertahankan diri?
Berikut enam alasan mengapa ia sangat berfaedah untuk dipelajari:
BINA PERWATAKA
N Salah satu teras dalam seni mempertahankan diri ialah disiplin.
Seni ini bukan sahaja membina keyakinan dan harga diri mereka, tetapi juga mengajarnya sifat rendah diri dan tanggungjawab.
Mereka diajar untuk tidak menyalahgunakan kemahiran yang dipelajari, memahami bahawa watak gagah hanyalah ilusi filem.
Seni mempertahankan diri mendidik mereka untuk menghormati orang lain dan membina keyakinan.
AKTIVITI FIZIKAL, SOSIAL
Dalam dunia yang semakin dibebani dengan isu obesiti kanak-kanak, seni mempertahankan diri menawarkan cara yang menyeronokkan dan berfaedah untuk anak anda kekal aktif.
Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, tetapi memberi peluang kepada anak anda untuk bersosial dengan rakan sebaya.
Kanak-kanak yang aktif secara fizikal juga cenderung memiliki fungsi eksekutif yang lebih baik, termasuk kawalan diri, daya perhatian dan kemahiran menyelesaikan masalah yang lebih kreatif.
MOTIVASI
Seni mempertahankan diri biasanya menggunakan sistem tahap — tali pinggang berwarna atau sebagainya yang melambangkan tahap kemahiran.
Ini mengajar anak anda untuk menetapkan sasaran dan bekerja keras untuk mencapainya.
Setiap kali memperoleh tali pinggang baharu, keyakinan bertambah, menjadikannya lebih bermotivasi untuk terus maju.
BELAJAR TERIMA ARAHAN
Menguasai seni mempertahankan diri melibatkan pemahaman teknik yang betul dan memerlukan keupayaan untuk mendengar serta mematuhi arahan.
Anak anda akan belajar cara untuk memberi perhatian, mengikuti arahan dengan tepat dan menjadi lebih berdisiplin.
TINGKATKAN FOKUS
Latihan seni mempertahankan diri bukan sahaja mengasah kemahiran asas fizikal tetapi juga mental anak anda.
Melalui pergerakan yang tepat dan rutin mempertahanan diri, mereka belajar untuk kekal fokus.
Dengan latihan berterusan, mereka mampu menguasai keseimbangan antara minda dengan tubuh, menghasilkan keupayaan untuk berfikir lebih tajam dan bertindak lebih bijak.
MENYESUAIKAN
DIRI Seni mempertahankan diri bukan hanya belajar cara menyerang, tetapi juga menerima serangan.
Latihan melibatkan pelajaran penting seperti menyekat, mengelak dan bertahan.
Ia sekali gus mengajar anak anda daya tahan — kemampuan untuk bangkit kembali setelah jatuh, sama ada di dalam gelanggang latihan atau dalam kehidupan seharian.
Dengan semua manfaat ini, seni mempertahankan diri bukan sahaja memberi anak anda kekuatan fizikal, tetapi juga ketahanan mental yang membantunya dalam jangka masa panjang.



