KUCHING: Orang ramai disarankan memanfaatkan cuti panjang untuk tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah di Hospital Umum Sarawak (HUS) sentiasa mencukupi dan selamat.
Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah HUS memaklumkan, beberapa kempen derma darah akan diadakan di sekitar Kuching bermula 25 hingga 31 Mei dengan sasaran kutipan lebih 320 beg darah.
“Pusat Tabung Darah HUS akan beroperasi pada 25, 26, 28 dan 29 Mei dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dengan sasaran 30 beg darah setiap hari.
“Pada 26 Mei, satu lagi kempen turut diadakan di Hotel Hilton Kuching dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang, manakala pada 30 Mei, kempen sama akan berlangsung di Emart Moyan dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang anjuran Stampin Red Crescent dengan sasaran 50 beg darah.
“Pada hari yang sama, satu lagi kempen turut diadakan di pusat beli-belah Summer dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang dengan sasaran 50 beg darah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, kempen terakhir bagi minggu tersebut akan diadakan pada 31 Mei di Kuching Tze Yin Buddhist Orthodox Association dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan sasaran 70 beg darah.
Dalam pada itu, pihak HUS turut menggesa penderma yang sudah cukup tempoh untuk tampil menderma secara konsisten bagi memastikan bekalan darah mencukupi terutama ketika musim cuti panjang.
“Teruskan menyokong kami dalam memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat kepada pesakit yang memerlukan.
“Terima kasih kepada semua penderma, penganjur, penaja serta orang ramai yang menyokong kempen derma darah sama ada di pusat tabung darah mahupun kempen bergerak,” katanya lagi.


