DALAT: Kerajaan Sarawak komited memastikan kebajikan warga emas di negeri ini sentiasa terjaga.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) juga antara inisiatif kerajaan bagi memperkukuh kesejahteraan golongan tersebut.

“PAWE merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti dan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial.
“Di Dalat, kita mempunyai sebuah PAWE yang ditubuhkan pada 9 Disember 2013 dan mula bertapak di Kompleks Kebajikan Dalat pada 5 Ogos 2021.
“Setakat Julai 2025, seramai 1,120 ahli ahli PAWE Dalat yang berdaftar… lelaki seramai 505 dan 615 perempuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan PAWE Dalat Tahun 2025-2027, di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.

Selain PAWE, pelbagai inisiatif lain yang disediakan oleh kerajaan untuk warga emas.
Jelasnya, ini termasuklah Bantuan Warga Emas (BWE), Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching dan Sibu, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian (BIK) serta Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
Sehubungan itu, Fatimah yang juga ADUN Dalat memberitahu, warga emas juga perlu kerap melakukan senaman ringan.

“Ia tidak semestinya berlari, boleh juga melakukan senaman poco-poco untuk aktiviti fizikal.
“Kemudahan yang ada di PAWE perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan semua mendapat manfaat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fatimah turut menasihati sesiapa yang dilantik menjadi Pengerusi PAWE Dalat untuk sentiasa memastikan pusat tersebut aktif.
Tambahnya, diharapkan agar ahli PAWE sentiasa bekerjasama, mengeratkan hubungan silaturahim dan sentiasa membantu satu sama yang lain.
Selesai majlis tersebut, Fatimah mengadakan lawatan ke Kampus Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Dalat dan Pusat Pemprosesan Baja Organik Daerah Dalat.




