KUCHING: Potensi wanita perlu dimanfaatkan dalam pembangunan negeri, khususnya melalui pengisian jawatan kepimpinan dan sektor strategik.
Pengerusi Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Datuk Zarinah Anwar, berkata usaha untuk memperkasa wanita melalui pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran adalah kunci utama.
Katanya, ini bertujuan memastikan penyertaan yang lebih seimbang antara lelaki dan wanita dalam semua peringkat organisasi serta sektor awam dan swasta.
“Matlamat utama adalah untuk memperkukuh kompetensi wanita dan membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi dalam mencapai kerjaya.
Tentunya, kita mahu membuka lebih banyak peluang untuk wanita mengisi jawatan kepimpinan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, Zarinah menyatakan bahawa statistik menunjukkan lebih 60 peratus graduan universiti di Malaysia adalah wanita, namun pengisian jawatan tertinggi dan kepimpinan masih didominasi oleh lelaki.
Jelasnya, keadaan ini memerlukan perhatian serius bagi memastikan bakat dan kepakaran wanita tidak disia-siakan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya organisasi, termasuk kerajaan negeri, memanfaatkan semua bakat yang dimiliki oleh lelaki dan wanita untuk menghasilkan keputusan terbaik bagi organisasi dan pembangunan negeri.
Menyentuh mengenai respons yang diberikan oleh Abang Johari, Zarinah menyatakan bahawa beliau memberi sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan kapasiti wanita, yang dilihat selari dengan visi kerajaan dalam memperkasa sumber manusia sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Tambahnya, Abang Johari amat menitikberatkan pembangunan sumber manusia dan melihat kerjasama bersama SCOPE sebagai platform penting untuk memperkukuh kapasiti dan kompetensi tenaga kerja Sarawak.



