Mangsa kebakaran di Long Balau dapat perhatian segera ADUN Mulu

ULU BARAM: Insiden kebakaran yang meranapkan keseluruhan rumah panjang Long Balau awal tengah malam tadi mendapat respon segera Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Adun Mulu Datuk Gerawat Gala.

Bersama Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong dan pasukan penyiasatan kebakaran dari Zon 6 Miri dengan menaiki penerbangan dari Miri ke Long Balau.

Sejurus tiba, beliau menyantuni sekali gus menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 kepada mangsa kebakaran menerusi Ketua Kaum. Gerawat Tebaran.

Penerbangan ini turut membawa bantuan awal bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan bantuan awal daripada Persatuan Bulan Sabit Merah.

Dalam kejadian kira- kira jam 12 tengah malam itu, lapan keluarga membabitkan 25 penghuni rumah panjang 23 pintu itu hilang tempat tinggal.

Pada masa kejadian, kebanyakan penghuni sedang tidur.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan berlaku.

Kampung yang terletak berdekatan dengan kampung Long Seridan ini mengambil masa selama sembilan jam perjalanan menggunakan jalan darat.

Long Balau adalah sebuah rumah panjang kaum Penan di Ulu Baram dan di bawah pentadbiran Daerah Kecil Bario.

Suara Sarawak