CORON: Mayat penumpang yang terkorban dalam kebakaran feri di perairan Filipina tiba di sebuah pelabuhan berhampiran bandar peranginan Coron, Palawan pada pagi Sabtu, ketika pengawal pantai negara itu memberi amaran bahawa angka kematian seramai 35 orang mungkin meningkat.
AFP menyaksikan banyak khemah didirikan bagi menempatkan 30 mayat yang dibawa dari kapal M/V June Aster; kapal itu terkandas berhampiran lokasi tumpuan pelancong tersebut selepas kebakaran tercetus pada petang Rabu dan marak dengan pantas ke seluruh kapal “dalam masa beberapa saat”.
Jurucakap pengawal pantai, Noemie Cayabyab memberitahu, sidang akhbar pada Sabtu bahawa semua mayat itu akan diserahkan kepada penyiasat forensik polis untuk “pengurusan dan pengecaman sewajarnya” sebelum pihak berkuasa tempatan diberikan maklumat kepada ahli keluarga.
“Pada masa ini, kami menumpukan usaha membawa keluar mayat, dan selepas itu kami akan meneruskan siasatan,” katanya, sambil mengesahkan bahawa semula mayat tersebut ditemui di bahagian penginapan kelas ekonomi kapal itu.
Penyiasat polis dilihat tiba di pelabuhan tersebut sejurus selepas sidang akhbar itu berakhir.
Apabila ditanya mengenai jumlah mayat yang masih berada di atas kapal, beliau menyatakan bahawa pihak berkuasa akan memberikan maklumat terkini pada kemudian hari.
Cayabyab memberitahu AFP pada petang Jumaat bahawa pemindahan pertama dihadkan kepada 30 mayat disebabkan oleh kapasiti kapal peronda yang digunakan untuk mengangkutnya dan masih terdapat mayat lain di atas feri tersebut.
Lima orang lagi disahkan meninggal dunia sejurus selepas kejadian kebakaran itu.
Foto yang dikeluarkan oleh pengawal pantai menunjukkan deretan beg mayat sedang dipindahkan ke sebuah kapal kecil, dengan kehadiran anggota yang memakai sut perlindungan bahan berbahaya (hazmat).
Setakat ini, 30 penumpang dan 13 anak kapal telah diselamatkan, manakala 54 orang lagi masih belum ditemui.
Pada Jumaat, Cayabyab memberitahu sebuah stesen radio bahawa kebakaran bermula di ruang kargo, kemudian merebak ke seluruh kapal dalam masa beberapa saat sahaja.
“Bermula daripada saat mereka terdengar letupan kuat, diikuti kemunculan asap dan kemudian api—ia merebak dengan sangat pantas,” katanya merujuk kepada keterangan mangsa yang terselamat.
“Segala-galanya berlaku dalam masa beberapa saat,” ujarnya, sambil menambah awa ada yang berjaya keluar dari kapal itu malah tidak sempat memakai jaket keselamatan.
Myra Cabilan memberitahu AFP, beliau telah terbang ke Coron untuk mencari saudara lelakinya yang hilang, Rammel Gonzaga (40 tahun), yang menaiki feri dari Manila bagi urusan perniagaan bersama abang iparnya.
“Isterinya baru sahaja melahirkan anak sebulan yang lalu. Dia sangat gembira dikurniakan seorang anak perempuan.
“Pada waktu subuh, saya masih percaya dia terselamat. Namun, dia masih belum ditemui. Saya sudah hilang harapan,” kata Cabilan sambil menahan air mata.
Beratus-ratus orang yang sangat mengharapkan berita mengenai kejadian itu telah meninggalkan komen di laman Facebook seorang datuk bandar tempatan bagi mencari saudara-mara, rakan-rakan, malah seekor anjing.
Senarai penumpang dan kru feri mencatatkan seramai 134 orang, namun menurut pihak pengawal pantai, dua orang tidak menaiki feri tersebut. Feri itu juga membawa muatan barangan, sebuah kenderaan elektrik, sebuah trak pikap dan beberapa buah motosikal.
Negara kepulauan dengan populasi 116 juta penduduk ini mempunyai sejarah panjang insiden bencana yang melibatkan feri antara pulau yang beroperasi di perairannya.
Ramai penduduk bergantung pada bot dan kapal yang murah serta kurang dikawal selia untuk perjalanan antara lebih 7,000 pulau di negara itu, walaupun sering berlaku kemalangan.
Pada Januari, sebuah feri tiga tingkat yang membawa lebih 340 orang karaman di perairan selatan Filipina, mengakibatkan sekurang-kurangnya 52 orang terkorban.
Kapal M/V Trisha Kerstin 3 karam di laluan yang hampir sama dengan lokasi kejadian pada 2023, dengan 31 orang maut akibat kebakaran di atas feri Lady Mary Joy 3.
Pada Khamis, syarikat pemilik M/V June Aster, Atienza Interisland Ferries Inc, menyatakan bahawa pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan tersebut. – AFP



