Mangsa letupan CityOne alami kesakitan luar biasa

KUCHING: “Saya kurang yakin berdepan dengan masyarakat kerana kulit sudah rosak,” jelas Mohammad Uzair Uqbah Abu Bakar yang merupakan salah seorang mangsa letupan gas di pusat beli-belah CityOne Sarawak pada 4 Disember 2018.

Menurutnya, dia dihempap satu objek besar hingga menyebabkan dia sukar untuk bergerak.

“Saya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan diri tanpa sedar apa yang berlaku di sekeliling, tanpa ada rasa sakit dan hanya mampu melihat ramai mangsa yang rebah.

“Ketika itu, saya keluar mengikut arah cahaya. Sampai sahaja di hadapan pintu, badan saya seolah-olah memberikan isyarat sakit. Ia merupakan rasa sakit yang luar biasa,” ujarnya ketika bercerita tentang pengalaman dalam letupan tersebut.

Kejadian itu memberikan kesan besar kepada dirinya kerana mengalami kebakaran 40 peratus ang- gota badan dari muka hingga ke pinggang.

Kata Uzair, peluang untuk kulitnya sembuh seperti dahulu mungkin agak tipis tetapi dia masih berusaha mengikut saranan doktor semasa melakukan rawatan.

“Luka akibat melecur ini belum pulih sepenuhnya. Saya perlu menjaga supaya tidak terdedah dengan persekitaran luar kerana khuatir berlaku jangkitan dan sebagainya.

“Apa yang dilakukan oleh saya dan keluarga adalah membeli ubat luar untuk membantu proses pemulihan kulit saya ini. Kos untuk ubat tersebut adalah RM1,000,” katanya.

Dia memberitahu, bukan mudah berhadapan dengan masyarakat luar kerana keadaan kulitnya kini.

“Saya malu dan hilang keyakinan diri selepas kulit saya jadi begini. Kadang-kadang apabila cuaca panas dan berpeluh, kulit menjadi pedih kerana kesan luka belum sembuh sepenuhnya.

“Saya keluar menggunakan baju lengan panjang. Saya mahu menutup bahagian melecur ini daripada pandangan orang,” ujarnya sambil menitiskan air mata.

Dia masih berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan susulan dan kesan peristiwa itu, dia turut mengalami masalah penglihatan atau rabun.

“Akibat kesan bunyi letupan yang kuat, saya mengalami masalah pendengaran tetapi kini semakin pulih,” katanya.

Menurutnya, selepas berlaku kejadian itu layanan keluarga dan rakan-rakan tidak berubah.

Mereka jelasnya menerima keadaan dirinya dengan baik tetapi dia masih berada dalam keadaan fobia.

“Saya masih takut mendengar bunyi yang kuat termasuk bunyi mercun, bunga api dan sebagainya. Bayangan insiden tersebut masih bermain dalam fikiran.

“Dua bulan selepas kejadian itu, saya turut mengalami gangguan tidur malam tetapi kini sudah beransur pulih,” jelasnya.

Uzair menyatakan dia terlantar sakit di hospital dari 4 hingga 21 Disember 2018 ekoran kecederaan dialaminya.

“Cabaran yang saya hadapi dalam keadaan ini adalah untuk mencari pekerjaan yang sesuai, kerana saya masih takut untuk bekerja di kawasan dapur.

“Saya berharap ada majikan yang mahu menawarkan peluang pekerjaan kepada saya dalam keadaan seperti ini. Saya ingin bekerja dalam keadaan persekitaran selamat,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Anak ketiga daripada lima adik-beradik ini menjelaskan sebelum kejadian letupan itu, pihak kontraktor masih dalam proses membetulkan paip.

“Petanda awal kejadian itu adalah bau gas tetapi pihak kontraktor memberitahu kami bahawa ia tidak bahaya.

“Pada hari kejadian letupan kuat berlaku dan runtuhan dalam bangunan tersebut memberikan kesan mendalam kepada saya dan rakan-rakan lain hingga ke hari ini,” jelasnya.

Selepas kejadian itu, pihak pengurusan menanggung kos rawatan di hospital dan meberikan gaji mengikut cuti sakit yang diberikan pihak hospital.

“Dari segi makanan, saya tidak mempunyai masalah selepas menjadi mangsa dalam kejadian letupan itu tetapi saya tidak makan makanan laut kerana mengalami alahan.

“Saya cuma muak dengan ubat, kerana terlalu banyak ubat yang perlu dimakan dan kadang-kadang saya tidak tahan,” jelasnya.

Dia menjelaskan hingga kini dia belum memohon apa-apa bantuan kebajikan.

“Kini saya masih menunggu peluang pekerjaan yang sesuai dengan keadaan saya,” katanya.

Kejadian letupan yang berlaku di pusat beli-belah itu pada 3.30 petang 4 Disember 2018 mengorbankan tiga nyawa dan 41 mangsa cedera.

Letupan tersebut disahkan berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LCG) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Suara Sarawak