KUCHING: Dua wanita tempatan kerugian lebih RM360,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian tidak wujud melalui platform media sosial.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mangsa masing-masing kehilangan sebanyak RM250,000 dan RM110,000 akibat terpedaya oleh sindiket yang menjanjikan pulangan pelaburan lumayan dalam tempoh singkat.
“Dalam kejadian pertama, wanita warga emas berusia lingkungan 60-an,l7111r7l2{looking hi uhh merupakan seorang peniaga di Padawan tertarik dengan iklan pelaburan antarabangsa di Facebook pada pertengahan Februari lalu.
“Mangsa kemudian menghubungi admin kumpulan tersebut, seterusnya diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai ‘Mycdtl’.
“Dia seterusnya telah membuat beberapa transaksi kewangan secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek dengan jumlah keseluruhan dianggarkan lebih RM250,000,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Ujarnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan pelaburan, bahkan suspek meminta bayaran tambahan sebagai syarat sebelum wang dapat dikeluarkan.
Sementara kes kedua jelasnya, membabitkan wanita kakitangan swasta berusia 50-an di Miri, yang menjadi mangsa sindiket penipuan melalui aplikasi Instagram pada pertengahan April lalu.
“Mangsa tertarik dengan iklan yang menawarkan bahan bacaan percuma dan menekan pautan yang diberikan.
“Dia kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp bernama ‘Popular Books 90’, sebelum dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan peluang pelaburan lumayan.
“Mangsa terpedaya dan melakukan beberapa transaksi kewangan secara atas talian ke akaun bank yang diberi oleh suspek, melibatkan jumlah kerugian sekitar RM110,000,” ujarnya.
Katanya, segala urusan dilakukan melalui WhatsApp, dan mangsa hanya menyedari ditipu apabila tiada sebarang keuntungan diterima seperti yang dijanjikan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
“Buatlah semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan pelaburan tersebut sah dan berdaftar,” tegas beliau.
Orang ramai juga disarankan memuat turun aplikasi WhosCall yang boleh membantu mengesan nombor telefon mencurigakan, selain membuat semakan melalui laman sesawang rasmi dan segera melaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa jenayah siber.



