BINTULU: ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming memberi jaminan semua mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut di Pangsapuri Iris Garden diberikan bantuan segera termasuk kerja baik pulih kediaman yang rosak.
Menurutnya, mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, pagi Jumaat, sebulat suara bersetuju untuk membantu mereka yang terkesan.

Ia termasuk menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membantu serta meringankan beban mangsa yang terjejas apabila rumah mereka tidak dapat dihuni dalam tempoh ini selepas dibadai ribut.
“Saya selaku wakil rakyat di sini akan mengambil tanggungjawab untuk membantu sebaik mungkin mangsa yang terjejas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pang merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma), Pejabat Residen dan Daerah Bintulu, bomba, polis dan agensi berkaitan dalam membantu mangsa terjejas.

Dalam kejadian sekitar 2 petang semalam (Khamis), seramai 47 keluarga membabitkan 184 penduduk terjejas selepas bumbung tingkat lima di enam blok Pangsapuri Iris Garden tercabut akibat dibadai ribut.
Setakat ini, lima keluarga ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 yang dibuka bermula jam 4 petang pada Khamis.
Tersentuh dengan nasib yang menimpa kesemua mangsa Pang berksempatan untuk meluangkan masa turun padang menyantuni mangsa di PPS.



