KUCHING: Isu peluang pekerjaan terhad, kebolehpasaran graduan dan pendapatan isi rumah dalam keadaan ekonomi tidak menentu dijangka menjadi antara pertaruhan utama parti politik untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Nur Aida Kipli berkata, isu berkenaan berpotensi mendapat perhatian dalam manifesto parti politik kerana berkait rapat dengan keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, peningkatan kos sara hidup, keseimbangan pembangunan serta keperluan dan aspirasi golongan belia turut dijangka menjadi antara perkara yang diketengahkan sepanjang pilihan raya berkenaan.
“Isu kebolehpasaran graduan amat berkait rapat dengan peluang pekerjaan yang terhad, manakala pendapatan isi rumah perlu seimbang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Bantuan kewangan juga perlu selaras dengan kehendak dan keperluan semasa masyarakat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu memperjuangkan hak negeri, selain menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat secara keseluruhan.
Pada masa yang sama, PRU menjadi kayu ukur keupayaan parti politik mendapatkan sokongan pengundi melalui agenda perjuangan dan manifesto masing-masing.
“Perjuangan hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka terus menjadi antara agenda yang diketengahkan parti politik bagi memperlihatkan komitmen mempertahankan kepentingan negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan parti politik turut memanfaatkan isu semasa yang mendapat perhatian masyarakat sebagai pendekatan untuk menarik sokongan pengundi.
Katanya, landskap politik Sarawak berbeza daripada negeri lain kerana kepelbagaian masyarakatnya menuntut pendekatan yang menitikberatkan keterangkuman supaya kemakmuran dapat dinikmati bersama.
Mengulas kemungkinan pertambahan kerusi DUN, beliau berkata, cadangan penambahan 17 kerusi daripada jumlah sedia ada sebanyak 82 kerusi berpotensi mengubah corak persaingan politik sekiranya dilaksanakan.
“Perkembangan itu turut menuntut parti politik menampilkan calon baharu yang berwawasan, berkebolehan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Keperluan dan kehendak masyarakat di setiap kawasan perwakilan dijangka terus meningkat kerana rakyat sentiasa menuntut keseimbangan pembangunan.
“Prinsip memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan juga akan menjadi antara pertaruhan parti politik untuk meraih undi,” katanya.
Beliau berkata, pengundi Sarawak secara keseluruhannya mahukan pembangunan berterusan daripada kerajaan yang bakal memerintah selaras aspirasi Sarawak Maju Makmur supaya hasil kekayaan negeri dapat dikongsi dan dinikmati bersama.
Dalam pada itu, Nur Aida berkata, cabaran utama parti politik adalah untuk mempertahankan kerusi sedia ada dengan mengetengahkan calon yang mampu mengekalkan kepercayaan pengundi.
“Bagi calon baharu, keterlihatan dalam kalangan masyarakat serta keberkesanan pendekatan dan penyampaian mereka sepanjang pilihan raya amat penting untuk menarik keyakinan pengundi,” katanya.


