SERIAN: Penolong pengurus Serian, MD Khuzaimi Iqmar masih menaruh keyakinan tinggi dengan kemampuan pemainnya untuk mencipta kebangkitan pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala Premier Sarawak 2026 menentang Kuching di Padang Perumahan, Jalan Astana Sabtu ini (31 Oktober).
Beliau menuntut komitmen jitu para pemain agar lebih fokus dan beraksi tanpa tekanan sepanjang tempoh 90 minit permainan sebenar kelak.
Menurut Khuzaimi, meskipun dilihat tugas yang agak mencabar menanti pemain bagi mengatasi defisit empat gol hasil yang dimiliki pasukan pelawat pada aksi separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Balai Ringin pada Sabtu lepas, namun ia bukan misi mustahil untuk direalisasikan.

“Memang sukar untuk mendapatkan gol lebih, tapi bola itu bulat, apa-apa boleh terjadi dan harapan kita agar berjalan lancar dan pemain dapat tanpa tekanan,” ujar Khuzaimi kepada Arena Suara Sarawak
Khuzaimi berkata, pihaknya menganalisis segala kelemahan yang berlaku hujung minggu lepas.
Justeru, persiapan diatur untuk mengimbangi tekanan pemain lawan pada pertemuan kedua itu nanti.
“Persiapan kini berjalan lancar yang mencakupi taktikal, mental dan meningkatkan tahap kecergasan semua pemain.
“Mereka siap sedia dari pelbagai aspek untuk mengharungi perlawanan genting itu,” tambah Khuzaimi.
Beliau mengharapkan pemain dapat menterjemah strategi yang akan diguna pakai untuk perlawanan Sabtu nanti.


