KUCHING: Pasukan SMK Chung Hua A dan AE membuktikan kehebatan dalam pengendalian dron apabila masing-masing menjuarai kategori A dan B pada pertandingan Cabaran Perlumbaan Dron 2026 di Permy Mall, Permyjaya, Miri, pada Sabtu lalu.
Gandingan Austin Kong Jun Wei dan Khoo Shan Yin dari SMK Chung Hua A mengetepikan pencabar lain untuk menjuarai kategori A, manakala pasangan Amheth Yurii Armand Hans Mohamad Sanusi dan Farees Akeem Shamsuri yang mewakili AE mengungguli kategori B.

Kejayaan kedua-dua pasukan itu menyerlah dalam persaingan yang menghimpunkan 13 pasukan menerusi dua kategori, sekali gus memperlihatkan kemahiran peserta dalam aspek kelajuan, ketepatan dan kawalan penerbangan dron.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pertandingan itu bukan sekadar menguji kelajuan dan ketepatan peserta, malah menjadi platform memperkenalkan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) kepada generasi muda.

“Walaupun hari ini para peserta bertanding untuk menguji kelajuan dan ketepatan mengendalikan dron, kemahiran yang dipelajari boleh menjadi asas untuk memahami teknologi UAV dengan lebih mendalam,” katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan.
Menurutnya, pengendalian dron memerlukan penguasaan kemahiran teknikal merangkumi kawalan pergerakan, kestabilan penerbangan dan keupayaan membuat keputusan pantas, selain pengetahuan penyelenggaraan serta keselamatan.

Beliau menjelaskan, kemahiran tersebut berkait rapat dengan bidang elektronik, pengaturcaraan, robotik dan kejuruteraan, sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk mendalami teknologi yang mempunyai aplikasi lebih luas dalam pelbagai industri.
Lee turut berharap pertandingan seumpama tersebut dapat diteruskan bagi menarik penyertaan lebih ramai pelajar, selain memupuk minat bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pengalaman praktikal.
“Saya berharap minat yang bermula melalui pertandingan ini akan mendorong para peserta untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, seterusnya meneroka peluang dalam industri dron dan UAV,” katanya.
Kejohanan anjuran Kolej Vokasional (KV) Miri itu menghimpunkan masing-masing lapan dalam kategori A bagi pelajar bawah 18 tahun dan lima pasukan kategori B yang melibatkan peserta institusi pengajian tinggi serta latihan kemahiran berusia 18 hingga 24 tahun.
Bagi kategori A, KV Miri C yang dibarisi Javier Jerrenz Ana John Kenedy dan Aurelius Sanli menamatkan saingan sebagai naib juara, sementara KV Miri A menerusi Steward Emang Stephen dan Emost Salomo Emanuel menduduki tempat ketiga.
Dalam kategori B pula, MPI A yang diwakili Emmanuel Vedjee Ujang dan Darnell Lammert Sim memperoleh tempat kedua, diikuti MPI B menerusi Bryan Rining Lee dan Aidil Muhammad Arsyad Abdullah di kedudukan ketiga.
Setiap pasukan juara membawa pulang wang tunai RM300, diikuti RM200 bagi naib juara dan RM100 untuk tempat ketiga, dengan kesemua pemenang turut menerima pingat serta sijil pencapaian.



