ARTIKEL

Sarawak perkukuh usaha tarik pelaburan industri maju, berteknologi tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Sarawak terus memperkukuh usaha menarik pelaburan dalam industri maju dan berteknologi tinggi dengan mengetengahkan potensi negeri dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih menerusi Invest Malaysia Day 2026 di sini.

Penyertaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) bersama SMD Semiconductor dalam acara yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore pada 22 Oktober lalu itu bertujuan mempromosikan potensi Sarawak sebagai destinasi pelaburan dalam industri maju.

STATOS menerusi kenyataan memberitahu, acara berkenaan dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan CIMB sekali gus menghimpunkan pemimpin perniagaan, pelabur serta agensi promosi pelaburan bagi meneroka peluang pelaburan di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor, Datuk Shariman Jamil juga mengetengahkan potensi kerjasama dengan pelabur, penyedia teknologi dan rakan industri menerusi sesi perkongsian bertajuk Beyond Energy: Sarawak’s Next Frontier in Semiconductors and High Value Industries (Melangkaui Tenaga: Haluan Baharu Sarawak dalam Industri Semikonduktor dan Industri Bernilai Tinggi).

Antara peluang yang diketengahkan ialah infrastruktur AI dan pusat data, sistem tenaga boleh diperbaharui, pemeteran pintar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), penyongsang serta pengubah keadaan pepejal.

Beliau turut menjelaskan peluang merentasi keseluruhan rantaian nilai semikonduktor, daripada reka bentuk cip dan pembangunan teknologi hingga integrasi sistem, pengkomersialan serta peluasan pasaran ASEAN.

Dalam sesi itu, Shariman juga memperkenalkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa galium nitrida (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan di Sarawak, sekali gus memperlihatkan peningkatan keupayaan SMD dalam reka bentuk semikonduktor dan teknologi kuasa pintar.

Sementara itu, STATOS yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chew Chang Guan, dan Pengurus Kanan Perdagangan dan Pelaburan, Tan Teng Cheng, turut berkongsi tawaran pelaburan Sarawak.

Perkongsian itu mengetengahkan peluang kepada syarikat berpangkalan di Singapura dan rakan industri global untuk menyertai ekosistem perindustrian dan semikonduktor Sarawak yang semakin berkembang.

Menerusi penyertaan itu, STATOS terus memudah cara hubungan perniagaan antara Sarawak dengan Singapura bagi menyokong usaha menarik pelaburan, menggalakkan kerjasama teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Acara itu turut memperkukuh komitmen Sarawak terhadap transformasi ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi industri maju yang sedang berkembang di rantau ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU