SEIRING dengan perubahan masa, kehidupan berkeluarga turut melalui fasa yang mencabar, sekali gus menuntut kesempurnaan dan komitmen yang tinggi.
Selain perubahan trend gaya hidup, kos sara hidup yang tinggi, kekurangan ilmu dan penghayatan agama, ditambah pula dengan perkembangan teknologi media dan komunikasi, sedikit banyak turut ‘menggoncang’ kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga.
Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023 menunjukkan bilangan perkahwinan menurun 0.5 peratus daripada 215,973 pada 2021 kepada 214,824 (2022).
Manakala perkahwinan am bagi lelaki juga menurun daripada 46.0 pada tahun 2021 kepada 45.3 (2022) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.
Trend yang sama juga bagi pengantin perempuan apabila turut menurun daripada 47.6 pada 2021 kepada 47.1 (2022) iaitu bagi setiap 1,000 penduduk perempuan yang berusia 16 tahun atau lebih yang belum mendirikan rumah tangga.
Sementara mereka yang berusia 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua jantina itu pula merupakan kelompok paling ramai dalam kalangan rakyat negara ini, membina mahligai perkahwinan.
Seperkara yang menarik dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Disember merupakan bulan perkahwinan paling popular bagi orang Islam manakala, Februari bagi pasangan bukan Islam.
Pengantin tertua yang pernah dicatatkan di Malaysia pula berusia 92 tahun manakala perempuan 86 tahun.
Bagaimanapun dalam tempoh itu, bilangan penceraian dilaporkan meningkat sebanyak 43.1 iaitu 62,890 pada tahun 2022 berbanding 43, 936 tahun sebelumnya. Kadar penceraian am pula meningkat daripada 6.1 kepada 8.7 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki yang berusia 18 tahun dan lebih yang berkahwin.
Begitu juga pengantin perempuan daripada 6.2 kepada 8.9 bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin. Dalam pada itu, umur penengah penceraian pula 38 tahun bagi lelaki manakala 35 tahun bagi perempuan.
Begitu pun statistik penceraian tidak boleh dibuat perbandingan dengan statistik perkahwinan tahun semasa kerana merujuk kepada tarikh kes selesai dengan sabitan oleh Mahkamah Syariah atau Sivil
. Hakikatnya, keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bertamadun dan unit asas inilah yang menjamin kesinambungan dalam melahirkan generasi yang berkualiti seterusnya membina negara yang sejahtera.
Malah, setiap unit keluarga itu diibaratkan seperti sebuah bata yang tersusun bersamasama batu bata yang lain untuk menjadi sebuah bangunan yang besar, teguh dan megah berdiri.
Justeru, mengimbangi proses pembangunan sosial dan ekonomi yang pesat ini, institusi keluarga perlu dimantapkan.
Perkara ini sangat mustahak kerana keluarga merupakan unit asas sosial yang menyedia dan membekalkan sumber modal insan untuk pembangunan negara.
Dalam perkembangan yang berkaitan, program pemantapan institusi keluarga bukan hanya perlu dimantapkan, sebaliknya wajar dihayati dan dipraktikkan bagi menyemarakkan rasa cinta agar kebahagiaan hakiki dikecapi.
Pada masa yang sama, penglibatan menyeluruh pelbagai pihak dalam aktiviti seumpama itu juga penting demi kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara.



