KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,156 usahawan di Sarawak dapat menikmati pelbagai kemudahan di bawah ekosistem Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya dalam pembiayaan, latihan dan pelbagai skim keusahawanan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata bagi tahun ini sahaja MARA telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta untuk dimanfaatkan oleh usahawan Bumiputera di negeri ini.

“Program ini bukan sahaja medan meningkatkan kemahiran, malah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi luar bandar dan mendekatkan MARA kepada rakyat,” katanya.
Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Usahawan MARA 2025 di Dewan Sri Payung, Kampung Endap, di sini, semalam.
Tambahnya, antara kemudahan yang ditawarkan oleh MARA termasuk Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM); Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA); Skim Usahawan Profesional; Skim Pembiayaan Perniagaan Kepada OKU; Skim Pembiayaan Perniagaan Teknikal (PUTEK); Skim Pembiayaan Lepasan Institusi Pendidikan MARA (SEMAi); Skim Pembiayaan Perniagaan Belia (PUTRA); dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SpiKE).
Menurutnya, ia juga termasuk penyediaan ruang niaga yang telah mewujudkan lebih 1,045 peluang pekerjaan serta penjanaan jualan bernilai RM53.4 juta di Sarawak.
Sementara, mengenai program tersebut, beliau memaklumkan, ia menampilkan pelbagai pengisian ilmu, latihan kemahiran dan peluang keusahawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Program ini menjadi bukti kesungguhan MARA memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera dengan menyediakan latihan, bimbingan, geran padanan, skim pembiayaan serta kemudahan premis perniagaan,” ujarnya.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan MARA itu juga merupakan inisiatif Rubiah sendiri untuk dilaksanakan di Kampung Endap, kampung angkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Penganjuran di kawasan luar bandar ini bertujuan memperkasa penduduk melalui latihan, pendedahan teknologi moden, pemasaran digital dan inovasi perniagaan, selain membuka peluang jaringan sokongan bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk kursus kemahiran gunting rambut, pembuatan pastri dan jahitan yang dikendalikan GIATMARA Sarawak pada hari pertama, diikuti sesi perkongsian ilmu melibatkan prosedur pendaftaran perniagaan, kemudahan keusahawanan RISDA, aplikasi teknologi digital dalam perniagaan serta motivasi usahawan pada hari kedua.
Seramai 200 peserta, terdiri daripada penduduk Kampung Endap hadir memanfaatkan peluang yang disediakan.
Program Transformasi Usahawan MARA 2025 diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya usahawan Bumiputera yang lebih cekal, berdaya tahan dan mampu menembusi pasaran lebih luas, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.






