ARTIKEL

OP CARILAMAT… Anggota Maritim mengepam air keluar bagi mengelakkan kapal layar Suntess tenggelam

Maritim Bintulu selamat dua warga asing, kapal layar bocor dan kandas hampir 10 jam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Dua warga asing terkandas hampir 10 jam sebelum diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu di kedudukan 1.5 batu nautika Tenggara Muara Jepak, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 4.23 pagi itu, kapal layar Suntess yang dinaiki dua kru terdiri daripada seorang wanita warga China dan lelaki warga Saint Kitts and Nevis dilaporkan mengalami kebocoran ketika dalam perlayaran ke Lungsod Ng Bacolod, Filipina dari Pelabuhan Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, pihaknya menerima aduan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching berhubung kejadian daripada pengadu warga China dikenali sebagai Wang Zhenzhen, 32.

Susulan laporan katanya, gerakan mencari dan menyelamat Op Carilamat dijalankan, manakala kapal layar itu difahamkan mempunyai jaket keselamatan yang lengkap, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta Suar Pencari Peribadi (PLB).
 
“Op Carilamat diaktifkan sekitar pukul 4.30 pagi dan bot KILAT 44 diatur gerak ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iszuadi, setibanya bot penyelamat di lokasi, pihaknya membantu melakukan kerja-kerja mengepam air keluar bagi mengelakkan ia tenggelam.

Atas faktor keselamatan juga ujarnya, kapal layar itu diarahkan merapat pada bot tunda MERANTI 33 yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.
 
“Sepanjang operasi dijalankan keadaan laut tidak begitu baik dengan kelajuan angin pada 20-30km/j dari arah timur laut dan ketinggian ombak adalah pada 1.0-1.5 meter,” tambah beliau lagi.

Menurut Mohd Iszuadi, setelah lima jam operasi penyelamatan dilakukan, anggota Maritim berjaya mengawal kebocoran seterusnya kapal layar itu diiringi bot KILAT 44 menuju ke Jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Jepak.
 
Justeru itu katanya, operasi ditamatkan sebaik saja kapal layar itu selamat tiba di jeti PGM Jepak sekitar pukul 2 petang.
 
“Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut terutamanya pada musim monsun timur laut selain mengutamakan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut.
 
“Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya.

SELAMAT… Kapal layar Suntess yang dilaporkan mengalami kebocoran.

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)