MIRI: Sebuah bot pancing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Miri selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di perairan Kuala Miri, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata penahanan dilakukan kira-kira 10.10 pagi oleh pasukan peronda Maritim yang melaksanakan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
“Bot tersebut dikesan pada kedudukan sekitar 8.14 batu nautika barat laut Kuala Miri.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak memiliki lesen sah untuk beroperasi, manakala tekong pula gagal mengemukakan sijil perakuan kompeten mengemudi vesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong bersama-sama dua penumpang warga tempatan berusia antara 37 hingga 46 tahun.
Justeru, Mohd Khairol berkata ketiga-tiga individu terbabit ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri bagi siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen serta mengemudi tanpa kelayakan sah.



