MALAM gemilang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menyaksikan Marsha Milan akhirnya dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Hening Rindu.
Ia menjadikan detik ini hadiah paling bermakna sepanjang 20 tahun perjalanan seninya.
Marsha, 40, mengaku kemenangan ini hasil kerja kerasnya selama dua dekad dalam industri muzik.
“Trofi ini sangat-sangat bermakna. Ramai yang melihat bagaimana saya bertungkus lumus dalam bidang ini, dan akhirnya segala usaha terbayar.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini,” katanya pada malam kemuncak AJL39 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selangor, pada Ahad lalu.
Menariknya, Marsha tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, namun tetap mengaku jauh di sudut hati, dia mengimpikan detik bersejarah ini.
“Jujur, saya tak mengharap, tetapi dalam hati kecil tetap ada rasa seronok kalau menang.
“Saya anggap ini rezeki, terima kasih kepada pencipta lagu ini, Ikhwan Fattana dan Wan Salleh,” ujarnya yang dipetik oleh portal berita.
Marsha membawa pulang RM100,000 berserta trofi selepas berjaya mengetepikan sembilan finalis lain.
Tempat kedua dimenangi oleh Nadeera Zaini dengan lagu Bukan Lagi Kita, manakala tempat ketiga menjadi milik Akim & The Majistret dengan lagu Saksama.
Malam AJL39 bukan sekadar kejayaan buat Marsha tetapi juga bukti kesabarannya dalam industri muzik.
Daripada seorang finalis Akademi Fantasia hingga bergelar juara AJL, Marsha Milan kini mengukir namanya dalam sejarah muzik Malaysia.






